Rindu Nak Naik Flight? Apa Kata Korang Jamu Selera Di 'Restoran Kapal Terbang' Dekat JB Ni!

FOODIE
December 08, 2020 - 12:45 AM


Gara-gara penularan wabak COVID-19 mesti ramai antara kita yang rindu untuk menaiki kapal terbang dan travel ke destinasi percutian idaman, kan?

Jika korang teringin untuk merasai pengalaman seakan-akan terbang di awan biru sambil menikmati hidangan lazat persis seperti berada di dalam pesawat -- korang boleh singgah menjamu selera di sebuah restoran kapal terbang ini yang dinamakan 'THE DREAMLINER AIRWAYS CAFE'!

Kafe yang membuatkan anda seperti makan di dalam kapal terbang ini terletak Taman Desa Tebrau, Johor Bahru.

Walaupun kafe ini sebenarnya merupakan sebuah bangunan rumah kedai, namun dekorasi dan susun atur di dalamnya direka berkonsepkan sebuah pesawat.

Sebaik menjejakkan kaki ke dalam restoran ini korang pastinya bakal terpukau dengan suasananya yang benar-benar seperti berada di dalam sebuah penerbangan di ruang angkasa.

Malah barisan pelayan, chef dan juga staff bahagian dapurnya juga berpakaian uniform seperti krew kabin dan seorang juruterbang.

Mengenai hidangan di sini, majoriti menunya adalah makanan Barat dan menariknya lagi sistem pesanan oleh pelanggan juga dibuat ala-ala pasport atau boarding pass, sebelum diserahkan kepada pelayan.

Sebagai hiburan sambil menjamu selera, korang juga boleh menonton televisyen yang disediakan khas untuk tayangan kisah berkisarkan kapal terbang dan pilot sahaja.

Disebabkan ramai yang suka menjamu selera di sini untuk meraikan sambutan istimewa bersama pasangan, keluarga atau rakan-rakan -- jadi sebaiknya korang membuat tempahan dahulu jika tak mahu kecewa kerana menunggu lama.

THE DREAMLINER AIRWAYS CAFE

ALAMAT: 7, Jalan Harmonium 35/1, Taman Desa Tebrau, 81100 Johor Bahru, Johor

WAKTU OPERASI: Isnin-Ahad (11 pagi-11 malam)

FACEBOOK: The Dreamliner Airways CAFE

Destination: