Table9, Bangsar - Ruang Kafe Tenang Dari Kesibukan Jalan Telawi

FOODIE
March 08, 2021 - 02:59 PM


Bangsar, terutama sekali Jalan Telawi sangat terkenal dengan tempat-tempat yang sedap, dan menjadi pilihan untuk orang KL lepak santai dengan kawan-kawan, jadi Jalan Telawi ini memang selalunya akan sibuk, dan ramai orang. Tapi, dalam kesibukan itu, ada satu kafe yang aku rasa sangat tenang untuk lepak, dengan hiasan dalaman yang moden, dan makanan yang sangat sedap. 

Table9 yang terletak di Jalan Telawi 3, Bangsar ini mempunyai deko dalaman yang sangat tenang, korang jalan masuk je ke dalam, ada gubahan bunga kering tergantung dari siling kafe, rak buah-buahan dengan hiasan daun-daun, dan antara benda yang aku paling suka tengok dalam kafe ini adalah rangka-rangka gambar dengan lukisan seni Matisse. 

Kafe ini turut memainkan lagu-lagu jazz yang santai, sangat syok untuk lepak-lepak hari Jumaat catch up dengan kawan-kawan sebelum beransur ke hujung minggu. 

Untuk makanan pula, menu dorang sangat seronok untuk dilihat sebab penuh dengan gambar, jadi senang untuk kita membuat pilihan. Dorang sediakan makanan Itali dan juga makanan fusion dari Korea, apa yang aku order masa aku dekat Table 9 ialah Funghi Carbonara With Mushroom (RM25) , Vongole Pasta (RM29), Spicy Pepperoni Pizza (RM28), dan untuk minuman aku cuba Latte dia (RM11). 

Funghi Carobonari With Mushroom dorang sangat creamy dan dorang memang tak kedekut dengan cendawan sebab dalam pinggan aku memang penuh dengan cendawan, dan aku rasa saiz hidangan dekat Table9 ini memang memuaskan untuk harga dorang. Vongole Pasta dorang aku rasa standard, sedap, dan berbaloi, ada rasa pedas pedas lada hitam sikit, dan kerang dorang memang segar. 

Spicy Pepperoni Pizza dorang memang sedap, crust pizza yang nipis, rangup, tapi lembut dekat dalam. Jalapeno dorang pedas gila, sesuai untuk tekak orang kita yang memang sentiasa mencari makanan pedas, hehe. Latte dorang standard, rasa kopi yang well-balanced.

Lepas aku habiskan makanan aku, aku berdiri dekat depan chiller pencuci mulut dorang, dan pelayan dorang tegur aku, "you want to try the tiramisu?", jadi aku anggap tiramisu dorang ini macam pencuci mulut yang paling famous lah sebab dia suggest, so aku cuba, dan seriously memang sedap gila! Kek dekat dalam balang tu memang moist gila dan rasa keseluruhan tiramisu tu memang sedap. 

Kalau korang datang ke Table9 ini, antara makanan yang memang dorang akan sarankan ialah Bulgogi Beef Pizza (RM31), resepi yang datang daripada warisan pemilik kafe tersebut. Selain itu, Korea kan terkenal dengan kepak ayam dorang, dan antara kepak ayam yang terbaik korang boleh dapat dekat Bangsar adalah di Table9, korang kena cuba Cheesy-Cheese Chicken Wings (RM19) dorang yang ditabur dengan serbuk cheese yang dibawa dari Korea Selatan oleh pemilik kafe itu sendiri. 

Jadi, kalau korang nak lepak-lepak di kafe yang memang chill dengan pilihan makanan dari makanan Itali yang tidak mengecewakan dan makanan Korea yang dibuat dengan resepi asli warga Korea, korang kena datang ke kafe Table9 ini!

  • Table9
  • 21, Jalan Telawi 3, Bangsar, 59100 Kuala Lumpur
  • Waktu operasi: 10:30am - 11:00pm, Ahad - Khamis, 10:30am - 11:30pm, Jumaat - Sabtu. 
Destination: