Zenia Coffee : Kedai Kopi 'Hipster' Ceruk Kampung Di Melaka

FOODIE
November 24, 2021 - 02:24 PM


Melaka sering menjadi port untuk jalan-jalan cari makan atau 'weekend getaway' kepada warga ibu kota dan Johor Bahru setiap kali tibanya hujung minggu atau cuti umum.

Selain disebabkan jaraknya yang hanya mengambil masa 2 jam pemanduan, status Melaka yang digelar sebagai 'Syurga Makanan Viral' juga antara penyebab ramai suka bercuti dan melancong ke Bandaraya Bersejarah ini.

Jika hujung minggu atau cuti nanti, korang ada rancangan untuk turun ke Melaka -- jangan lupa selepas keluar sahaja dari Tol Ayer Keroh korang boleh terus ke Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal cari sebuah warung yang menjual kopi premium setaraf kafe ‘hipster’ di luar sana.

Warung berkonsepkan nostalgia itu diberi nama Zenia Coffee, diusahakan seorang anak muda berusia 36 tahun.

Menurut pengurus dan pemiliknya, Zainal Abidin Omar, warung yang diusahakannya di halaman rumah bersama keluarga itu pada awalnya hanya menjual makanan citarasa tempatan seperti sate dan roti john.

Namun, berbekal pengalaman dan minat terhadap pembuatan kopi, dia mula memperkenalkan konsep gabungan warung dan kafe untuk menarik pelanggan.

Menariknya kopi yang dihidangkan di Zenia Coffee selain dibancuh menggunakan mesin kopi berteknologi tinggi -- biji kopi di sini juga adalah jenis premium dan berkualiti tinggi yang dibawa masuk pelbagai negara seperti Brazil, Ethiopia, Venezuela, Indonesia.

Kopi itu kemudiannya akan dipanggang dan dicampur dengan kadar peratusan tersendiri mengikut ramuan pemiliknya sendiri.

Dengan secawan kopi berharga serendah RM6, korang boleh menikmati minuman kopi yang dipanggang dan dibru segar dengan tambahan hiasan ‘seni latte’ di atasnya, persis layanan buat golongan kayangan.

“Bagi saya asalnya warung ini untuk masyarakat kampung kerana mereka juga ada niat nak rasa kopi mahal seperti di restoran dan kafe mewah.

“Cuma mereka tidak ada kesempatan untuk mengunjunginya mungkin kerana malu dan tidak faham untuk memesan nama jenis-jenis minuman kopi, disamping harganya yang mahal.

“Namun, saya bersyukur kerana bukan sahaja penduduk kampung, bahkan warung ini ada peminatnya tersendiri sehinggakan ada juga pelanggan yang datang dari jauh seperti Johor dan Kelantan semata-mata menikmati kopi premium dengan harga ekonomi ini,” kata Zainal Abidin.

Kalau korang berkunjung ke Melaka dan kebetulan korang memang seorang penggemar kopi, boleh singgah ke Zenia Coffee yang dibuka bermula 5.30 petang hingga 9.30 malam, bagi merasai sendiri pengalaman menghirup kopi ‘hipster’ dengan harga ekonomi.

Antara minuman kopi premium yang dijual di sini termasuklah Espresso, Black Coffee, Cappuccino, Caffe Latte, Mocha, Hazelnut Latte, Flat White dan pelbagai lagi.

Selain itu, turut dijual pek kopi yang siap dipanggang dengan harga serendah RM30, bergantung kepada jenis kopi.

Sumber: Melaka Hari Ini & Kredit Gambar: FB Zenia Coffee

Destination: