Anda Penggemar Daging Wagyu? Jom Serbu 'Wagyu Master Malaysia' Milik Bekas Bintang Hoki, Datuk Mirnawan Nawawi

FOODIE
December 15, 2022 - 06:40 PM


Anda penggemar daging mahal iaitu Wagyu tetapi susah dan tak tahu nak cari restoran mana yang menghidangkannya secara halal?

Kini anda boleh cuba untuk menjamu selera di sebuah restoran Wagyu milik bekas bintang hoki negara yang terkenal suatu masa dulu iaitu Datuk Mirnawan Nawawi.

Terbaharu, pengurus skuad hoki Malaysia itu memilih untuk menceburi bidang perniagaan makanan dengan membuka restoran makanan yang dikenali sebagai "Wagyu Master Malaysia".

Restoran itu yang terletak di Chow Kit, Kuala Lumpur adalah impian yang sememangnya diidamkan Mirnawan sejak zaman kanak-kanak.

"Perniagaan ini dibina atas pengalaman yang lalu. Sebenarnya saya memang minat dalam bidang ini sejak dahulu lagi.

"Sekarang barulah dapat direalisasikan menggunakan nama Wagyu Master Malaysia yang merupakan projek bersama empat rakan kongsi yang lain.

"Selepas ini mungkin jika ada rezeki kita akan membuka lagi cawangan ini di tempat-tempat lain bagi mengembangkan lagi perniagaan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis pelancaran Restoran Wagyu Master Malaysia di ibu kota, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mirnawan berkata, peminat wagyu yang beragama Islam tidak perlu risau mengenai status halal daging yang disediakan di restorannya.

Jelas beliau, kesemua daging yang diperoleh dari Miyazaki, Jepun diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim).

"Daging wagyu ini kita import dari Jepun di Miyazaki yang mana tempat proses dan penyembelihannya diiktiraf dan dijamin halal oleh Jakim.

"Mereka sangat proaktif dan tahu rakyat malaysia ramai gemar dengan daging wagyu. Justeru penggemar daging halal tidak perlu risau untuk makan daging di sini," katanya.

Sumber: Harian Metro

Destination: