I' Dahlia Corner - Iftar Dalam Taman Hijau Penuh Ketenangan Di Tengah KL

FOODIE
March 22, 2023 - 06:16 PM


Buat mereka yang mahu mencari kelainan untuk berbuka puasa pada Ramadan ini dalam keadaan tenang dan suasana kehijauan -- apa kata memilih pergi ke I’Dahlia Corner di Persiaran Stonor, Kuala Lumpur.

Restoran itu merupakan satu-satunya yang diusahakan oleh usahawan Bumiputera yang terletak di kawasan kejiranan Menara Berkembar ­Petronas (KLCC) dan segi tiga emas di Kuala Lumpur -- serta menawarkan menu berbuka puasa secara bufet dalam taman dipenuhi pokok-pokok hijau yang membuat mata redup memandang.

Pemilik restoran, Dahliati Ali­ruddin yang telah terlibat dalam bidang makanan dan minuman sejak 7 tahun lalu berkata -- antara menu popular di I’Dahlia adalah sup tulang meletop dan menu ala kampung yang pasti menggamit nostalgia.

“Buat kali kedua bufet Ramadan pada tahun ini akan memberi peluang kepada orang untuk menikmati berbuka puasa dalam suasana yang santai sambil diserikan dgn persembahan kebudayaan pada setiap hujung minggu.

“Pada masa sama, kemudahan parkir dan surau turut disediakan dalam usaha memberi keselesaan kepada pengunjung yang menikmati selera dengan penuh ketenangan namun digalakkan membuat tempahan awal,” katanya pada majlis review Ramadan baru-baru ini.

LEBIH 60 MENU SAJIAN ALA KAMPUNG & MODEN

Sepanjang Ramadan ini, terdapat lebih 60 menu termasuk sajian utama, pemanis mulut dan minuman ditawarkan kepada pengunjung bermula 25 Mac ini sehingga 20 April depan dari pukul 6:30 petang hingga 10 malam.

Juadah ala-kampung dan moden yang disediakan setiap hari ditawarkan pada harga yang berpatutan bagi membolehkan semua lapisan masyarakat datang berbuka puasa di restoran itu.

Antara juadah yang menanti pengunjung adalah gulai kawah, ayam percik, ikan bakar, sambal jering, siput sedut masak lemak cili api, asam pedas, rendang minang, nasi ayam I’dahlia dan nasi lemak daun pisang termasuk aneka juadah kuih-muih.

Selain itu, terdapat 10 jenis pemanis mulut yang disediakan seperti pengat pisang, pengat ubi, kuih muih melayu, goreng-gorengan seperti pisang goreng, ubi goreng.

Sementara itu, bufet Ramadan dalam taman ini hanya berharga:

- RM69 bagi dewasa

- RM49 (warga emas)

- RM39 bagi kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun

Bagi membuat tempahan awal, anda boleh dibuat di talian 017-9913907.

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: