Maghi Pakat Singgoh 9 Tempat Makang Best Di Terengganu!

FOODIE
July 29, 2022 - 05:45 PM


Bila cakap mengenai makang (makan) di Terengganu, mesti ramai yang terliur bila membayangkan senarai menu popular negeri itu seperti Nasi Dagang, keropok lekor, singgang budu, ketupat sotong dan ICT (ikan celup tepung).

Tetapi korang tahu tak mana nak cari semua menu sedap ini bila bercuti ke Ganu Kite?

Baru-baru ini Rileklah.com berkesempatan menyertai Fiesta Candat Sotong Beautiful Terengganu 2022 di Marang, serta bermalam di Pantai Penarik dan Kuala Terengganu selama 4 hari 3 malam tajaan  dengan kerjasama Gaya Travel Magazine.

Sepanjang percutian itu banyak tempat makan menarik yang sempat kami kunjungi dan berikut 9 lokasi makang Terengganu yang wajib korang singgah jika nak merasai sendiri keaslian hidangan Oghe Ganu.

 1. BELAGOANGIN

📍 Kedai Makang Belagoangin, Kg Pancur Kuin, Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu.

Mana nak cari tempat makan kat tepi sawah padi & beratap rumbia, siap pelayan bawa hidangan masakan klasik Melayu atas dulang buluh macam zaman dulu-dulu?

Nak cuba semua itu, korang kena datang makan sini -- ada lebih 30 pilihan lauk-pauk kampung yang jarang boleh didapati di tempat lain.

Antara menu lauk kampung yang dihidangkan dan wajib korang rasai sendiri kelazatannya adalah seperti gulai Ikan yu, gulai telor itik, kerabu perut, pari bakar berempah, pais patin, ayam percik, cencaru bakar, baung masak tempoyak dan pelbagai jenis ulam-ulaman serta budu.

Selain lebih 30 jenis masakan tradisional itu, di Belangoangin juga turut menawarkan menu yang jarang ditemui termasuk budu goreng, gulai siput sawah, gulai kepala ikan tasik serta masak asam pedas ikan puyu.

Kedai Makang Belagoangin ini menyediakan lebih 30 buah meja serta boleh memuatkan sekitar 150 orang dalam satu-satu masa.

Belagoangin ini dibuka setiap hari kecuali pada Khamis & Jumaat dari pukul 11 pagi hingga 3.30 petang.

 2. SINGGANG BUDU

📍 Restoran Singgang Budu, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Tanjung Kapur, Kuala Terengganu.

Jika ke Terengganu dan korang mencari lauk-pauk pior asli Terengganu, korang kena singgah ke restoran ini.

Selain menu utama seperti namanya iaitu Singgang dan Budu -- restoran ini turut menyajikan 38 jenis lauk kampung yang autentik dengan rasa asi Terengganu.

Antara yang wajib korang pekena bila datang sini adalah singgang ikan ayer, ikan panggang cicah budu, singgang sotong, ketupat sotong dan pelbagai jenis ulam-ulaman kampung yang pasti membangkitkan selera.

Ikan atau sotong masak singgang dengan gulai jernih serta aroma yang dicampur rebusan air bersama beberapa ramuan wajib, iaitu kunyit hidup, halia, bawang putih dan lengkuas bakal membuatkan korang makan sehingga menjilat jari.

Restoran Singgang Budu ini bestnya adalah ruang makan yang luas dan mempunyai persembahan muzik live untuk hiburan halwa telinga pengunjungnya.

Jadi datang Ganu, jangan lupa makan kat Singgang Budu yang dimiliki dan menampilkan citarasa anok Tranung.

Restoran ini beroperasi pada setiap hari kecuali Jumaat dan dibuka pada pukul 11 pagi sehingga 5 petang sahaja.

3. NASI DAGANG ATAS TOL 3

📍 Nasi Dagang Atas Tol 3 / Padang Negara / Padang Hiliran / Bandar, Kuala Terengganu.

Jika Kelantan popular dengan hidangan Nasi Kerabu, Terengganu pula terkenal dengan Nasi Dagang.

Di Terengganu, masyarakat tempatan biasanya bersarapan pagi dengan Nasi Dagang dan jika korang nak rasa style sarapan anok Tranung -- boleh cuba menjamu selera di beberapa cawangan Nasi Dagang Atas Tol yang sememangnya popular dalam kalangan pelancong.

Istimewa Nasi Dagang Atas Tol berbanding nasi dagang lainnya adalah selain gulainya yang menggunakan resepi asli Terengganu -- keunikannya juga datang dari kelembutan nasinya yang menggunakan campuran beras Basmathi dan beras pulut.

Kalau korang rasa kombinasi antara nasi dan gulai ikannya memang sedak dan pior sungguh wei. Rasa semangkuk kecil gulai tu macam tak cukup nak banjirkan nasi dagang korang! Hehehe...

Lepas tu minum pula dengan teh beng madu (teh ais) ataupun teh hijau yang diberikan nama special iaitu "Teh Beng Ombak Rindu" sebab ada buih-buih yang mencurah-curah seperti lava dan deruan ombak...ah gitchewww...memang bertambah selera la korang pekena Nasi Dagang!

Tapi disebabkan saiz cawan airnya lebih besar daripada biasa, disarankan untuk korang kongsi je air tu bersama ahli keluarga lain atau kawan-kawan sebab memang takkan habis kalau korang minum sorang.

Kalau korang nak masak sendiri Nasi Dagang Atas Tol ini kat rumah, korang juga boleh beli rempah dan pes segera mereka di kesemua cawangan restoran yang dimiliki.

Nasi Dagang Atas Tol ini dibuka setiap hari dari pukul 6.30 hingga 11.30 pagi. Tetapi korang jangan lambat sangat sebab kadang-kala ada cawangan yang belum pukul 10 pagi pun dah habis makanan. Takut gigi jari je korang datang jauh-jauh nanti...

 4. HOUSE OF LOSONG KOPI BAYU

📍 House Of Losong Kopi Bayu, 1537, Kampung Losong Masjid, Kuala Terengganu.

Sekarang ni kan trend semua orang cari kafe untuk mengopi yang berkonsepkan ala-ala urban atau ada port bergambar cantik nak diupload dalam media sosial masing-masing.

Kalau bercuti ke Terengganu dan korang nak chill-chill dengan member sambil mengopi kat tepi sungai, korang kena singgah ke House Of Losong Kopi Bayu ni.

Bertepatan dengan namanya, mengopi di kafe ini sememangnya korang akan experience minum kopi di satu-satunya "outdoor cafe" Terengganu, siap dengan hembusan angin bayu dari tepian sungai di situ.

Istimewanya kopi di sini dibrew segar oleh barisan barista Kopi Bayu dan paling menambat selera adalah Butterscotch Latte yang lebih sedap jika dipadankan dengan hidangan pastri khas mereka seperti pavlova, Portugese tart, cheese roll, almond stick, pineapple stick, blueberry muffin atau sardin puff.

Menariknya jika lepak mengopi di sini ada banyak port cantik untuk korang berposing sakan dengan berlatar belakangkan pemandangan sungai dan kalau bertuah siap boleh dapat pakej sunset lagi. Buaian untuk props bergambar cantik pun ada tau! Lurveeee....

House of Losong Kopi Bayu ini dibuka setiap hari kecuali Rabu dan beroperasi pada pukul 4 petang hingga 10.30 malam.

5. KOPI PAYONG, RHU MUDA 

📍 Kopi payong, 3, Marang, Terengganu.

Kalau tadi korang mengopi di tepi sungai, kali ini cuba pula mengopi di tepi pantai!

Memang bertuah betul anok-anok Tranung dapat pemandangan yang cukup luar biasa indah untuk sesi mengopi dorang, kan!

Kalau korang nak tahu jenama Kopi Payong ini sememangnya popular dan viral dalam kalangan pelancong tempatan dan luar apabila mereka bercuti ke Terengganu.

Ini kerana Kopi Payong mempunyai banyak cawangan di sekitar Terengganu dan majoriti cawangannya memang siap dengan pakej mengopi di tepian pantai sambil hirup angin laut yang cukup menyegarkan.



Selain cawangan di Bukit Rakit, Kopi Payong Rhu Muda ini juga menawarkan pengalaman mengopi di tepi laut yang jarang korang nak dapat di tempat lain.

Jadi pastikan korang jangan terlepas peluang merasai sendiri pengalaman istimewa ini jika bercuti ke negeri penyu bertelur k!

6. NASI LEMAK KUKUS KAK DAH

📍 Nasi Lemak KuKus Kak Dah CD, Lot 2173, Jln Bukit Depu, Kg Bukit Bayas, Kuala Terengganu

Jika berada di Terengganu dan tiba-tiba waktu lewat malam perut korang berkeroncong lapar -- jangan risau sebab korang boleh isi perut dengan menikmati 'menu lewat pagi oghe Ganu' iaitu nasi lemak kukus yang dijual sehingga pukul 5 pagi.

Istimewanya nasi lemak yang diusahakan oleh wanita bernama Siti Zubaidah Ali dari Pasir Panjang, Kuala Terengganu ini adalah sambalnya yang cukup pedas dan sedikit manis serta kepelbagaian lauk-pauk yang boleh dipilih mengikut selera pelanggan masing-masing.

Selain lauk ayam, paru, kerang dan telur puyuh yang menjadi kegemaran ramai -- Nasi Lemak Kukus Kak Dah ini juga turut menawarkan lauk istimewa Terengganu iaitu ikan tongkol atau lebih popular dengan gelaran "ikan aye"!

Jadi jangan ingat Terengganu hanya ada Nasi Dagang je, nasi lemak kukus pun dorang ada tau! Sedap pula tau! Rugi kalau tak cuba. Resepinya pula dah berganti generasi sejak belasan tahun lalu.

Dengarnya Nasi Lemak Kukus Kak Dah ini ada beberapa cawangan sekitar Terengganu dan masa operasi berbeza mengikut cawangan tetapi ada yang dibuka untuk 2 masa iaitu 4.30 hingga 6.30 petang serta 10 malam hingga 5 pagi!

7. GERAI KUIH GONG KAPAS

📍 Gerai Kuih Gong Kapas Terengganu GKGK, Jln Panji Alam, Kg Gong Kapas, Kuala Terengganu

Tercari-cari hidangan untuk dinikmati semasa minum petang sambil bersantai melihat keindahan perkampungan Terengganu atau pemandangan pantai? Korang kena singgah dulu ke Gerai Kuih Gong Kapas atau singkatannya GKGK ini!

Setibanya kat gerai ini korang jangan terkejut kalau dari luar gerai pun dah penuh dengan susunan kuih-muih tradisional Melayu yang berwarna-warni. Ada lebih 100 jenis kuih yang confirm buat korang rambang mata nak pilih!

Kuih-kuih di sini bukan semua dibuat oleh pemilik gerai, sebaliknya banyak yang dihantar oleh penduduk setempat untuk dijual kepada pelanggan. Kira macam 'one-stop-center' khas untuk jualan kuih-muih tradisi. Senang orang cari!

Tetapi yang pasti selain harganya yang murah, kuih-muih di sini memang sedap-sedap dan rasa keaslian citarasa Terengganu tu terutama "Kuih Qasidah" yang wajib korang cuba. 


 

Selain itu, ada juga pelbagai jenis kuih lain seperti nona manis, kuih gulung, apam, seri muka, cucur badak, kuih cara berlauk dan bermacam lagi.

Gerai Kuih Gong Kapas ini dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.

8. KEROPOK LEKOR ADIK BERADIK KAMPUNG LOSONG

📍 Kampung Kuala Hiliran, Kuala Terengganu.

Kalau sebut pasal Terengganu mesti ramai yang terbayang akan keenakan keropok lekornya yang pior dan penuh rasa ikan, tak seperti yang dijual di Kuala Lumpur hanya penuh dengan tepung.

Tak dinafikan memang banyak kedai di Terengganu menjual keropok lekor dan keropok ikan -- tetapi antara lokasi keropok lekor yang korang kena singgah adalah di Keropok Lekor Adik-Beradik Kampung Losong.

Istimewanya keropok lekor di sini dorang akan gentel dan rebus di kedai itu sendiri bagi memastikan kesegaran rasa ikan yang diuli sebelum dijual kepada pelanggannya.

Bukan sahaja keropok lekor, malah keropok kering turut dijual di sini dengan harga yang murah iaitu hanya RM1 untuk sebatang keropok lekor besar dan bagi 4 keropok lekor bersaiz kecil juga dijual dengan harga cuma RM1.

Paling best di sini juga turut menyediakan perkhidmatan pembungkusan secara vakum untuk memudahkan ia dibawa, dijadikan buah tangan dan disimpan lebih lama.

Selain itu, pelbagai jenis sos buatan sendiri juga dijual dengan harga RM3 sahaja sebotol.

Paling penting korang takkan rugi membeli keropok lekor di sini kerana ianya tidak hanyir, sedap dan kaya dengan rasa ikan.

Keropok Lekor Adik Beradik Kampung Losong dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 7 malam.

9. OMBAK PANTAI RESTAURANT 

📍 Ombak Pantai Restaurant, Jalan Pantai Penarik, Kuala Terengganu.

Antara lokasi popular pelancongan Terengganu yang tidak dinafikan keindahan deretan pokok-pokok kelapanya adalah Pantai Penarik di daerah Setiu, kira-kira 1 jam dari bandar Kuala Terengganu.

Jika berkunjung ke sini atau korang datang untuk bergambar cantik di sepanjang Pantai Penarik -- jangan lupa untuk singgah pekena hidangan terkenal Oghe Ganu iaitu Ikan Celup Tepung atau singkatannya disebut ICT!

Sepanjang Pantai Penarik, begitu banyak deretan kedai yang menjual menu tersebut -- tetapi yang paling menambat hati pengunjung dan rugi kalau korang tak singgah adalah Ombak Pantai.

Ini kerana selain menawarkan pelbagai hidangan makanan laut celup tepung, siap ada pilihan set bagi yang rambang mata nak pilih ikan, sotong, ketam atau udang -- korang boleh pilih je sama ada Set Redang atau Set Perhentian.

Semuanya sedap belaka dan rasa kesegaran hidupan laut serta kerangupan tepung yang disaluti bersamanya. Malah ramai yang mendakwa celup tepung di sini merupakan pilihan nombor 1 bagi kebanyakkan pengunjung yang datang ke Terengganu!

Paling menarik di sini korang akan dapat pengalaman menjamu selera di tepian pantai sambil layan angin laut!

Ombak Pantai juga menyediakan pilihan tempat makan yang terdiri daripada meja biasa di bawah bumbung, meja di pasir pantai bawah pepohon kelapa atau bersila di atas rumah pokok. Korang tinggal pilih je nak makan di mana.

Memahami trend pelanggan sekarang yang suka bergambar cantik bersama keluarga dan rakan-rakan yang datang makan ke Ombak Pantai, bestnya mereka turut menyediakan beberapa spot dan props untuk korang posing bergambar Instagrammable!

Ombak Pantai Restaurant ini dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 8 malam.



P/S: So kalau bercuti ke Terengganu pastikan masa tu korang bukan dalam tempoh sedang berdiet atau ada misi nak kuruskan badan, sebab datang sini confirm lemak korang bakal bertambah dan cheat-day berhari-hari! Hahahaha...apa-apa pun enjoy dulu video '9 Port Makan Best Di Terengganu' daripada min!

 

Destination: