Hati-Hati Bercuti Di Maldives! 'Butler' Hotel 5 Bintang Didakwa Perkosa Pelancong China

TERKINI
June 20, 2023 - 12:06 PM


Percutian seorang pelancong wanita dari China yang ingin merehatkan diri di Maldives bertukar mimpi ngeri seumur hidup selepas dia didakwa telah diperkosa oleh pekerja hotel tempat penginapannya.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik di laman Twitter (@YolyYitong) -- wanita berusia 26 tahun itu menjelaskan dia bercuti di Maldives pada 6 Jun lalu sebelum bercadang untuk berangkat pulang semula ke China pada 10 Jun 2023.

Tetapi dia mengambil keputusan untuk memanjangkan percutian di Kaafu Atoll, Maldives dengan menginap di sebuah hotel terkemuka.

Setibanya di hotel berkenaan, dia dibantu oleh seorang ‘butler’ untuk menguruskan proses daftar masuk di penginapan itu.

Kebetulan pula pada hari yang sama, telefon wanita tersebut rosak akibat terkena tumpahan air dan menyukarkannya untuk menghubungi ahli keluarga.

Jadi, wanita berkenaan meminta pertolongan pihak hotel dan mereka menghantar pekerja sama yang menguruskan proses ketika dia mendaftar masuk.

Namun ketika pekerja itu berada di dalam bilik wanita tersebut untuk meminjamkan telefon miliknya, lelaki berkenaan berkelakuan pelik dan mula bertanya soalan yang agak kurang menyenangkan.

Namun, keadaan menjadi semakin tegang apabila pekerja lelaki berkenaan cuba untuk menciumnya beberapa kali meskipun wanita tersebut menolaknya.

Malah, suspek juga telah menolak mangsa ke atas katil dan memasukkan kemaluannya ke dalam mulut wanita berkenaan.

"Dia juga sentuh bahagian kemaluan saya dan cuba untuk melakukan hubungan seks. Saya paksa dia untuk berhenti tetapi dia enggan. Disebabkan itu dia memasukkan pula jarinya ke dalam kemaluan saya", cerita wanita malang itu.

Wanita berkenaan akhirnya selepas itu berjaya bangun dari katil dan berlari untuk menutupi badannya menggunakan selimut.

Tidak terhenti di situ sahaja, suspek juga telah ‘mengotorkan’ skrin komputer milik wanita berkenaan dengan air maninya dan mengelapnya menggunakan tuala sebelum beredar dari bilik.

Mangsa Rogol Pekerja Hotel Di Maldives Buat Laporan Polis

Situasi yang berlaku menyebabkan wanita tersebut terus memaklumkan kepada pihak hotel dan mereka menyerahkan kes kepada pihak polis.

Pihak polis kemudiannya tiba di hotel dan mengambil kenyataan mangsa, selain menyimpan bukti dari komputer dan tuala yang digunakan oleh suspek untuk mengelap air mani pada skrin komputer.

Malah, mangsa juga membuat ujian perubatan dan mendapati terdapat beberapa kesan lebam pada tubuh badannya.

"Pihak polis mengambil sampel mulut saya dan memaklumkan keputusan ujian itu akan mengambil masa beberapa minggu. Pada ketika itu saya pun dah pulang ke China. Sementara menunggu keputusan, mereka katanya tiada alasan kukuh untuk menangkap pekerja hotel tersebut", kata wanita China tersebut.

Pihak Hotel Bertindak Lepas Tangan 

Susulan kes yang berlaku, pihak hotel menasihati mangsa untuk meninggalkan lokasi tersebut dalam tempoh terdekat.

"Kata mereka, kes ini hanya melibatkan antara pihak polis dan pekerja lelaki terbabit. Pihak hotel tidak terlibat langsung. Mereka juga memaklumkan tidak dapat menguruskan lagi penginapan saya," tambah mangsa.

Bukan itu sahaja, pihak hotel juga mendakwa mangsa berkelakuan sedemikian semata-mata untuk mendapat penginapan percuma di hotel terkemuka berkenaan.

Mangsa walau bagaimanapun menyatakan telah membuat pembayaran penuh ketika mendaftar masuk pada hari pertama.

Situasi dikatakan menjadi lebih keruh apabila pihak hotel tidak melakukan sebarang permohonan maaf terhadap mangsa ketika dia meninggalkan penginapan itu.

Sumber: The Rakyat Post

Destination: