Bapa Durjana! Tak Cukup Berbini Dua, Anak Kandung Pun 'Dikerjakan'!
TERKININafsu syaitan seorang lelaki beristeri dua yang tergamak merogol dua anak kandungnya sejak tujuh tahun lalu akhirnya terbongkar apabila diberkas polis dua minggu lalu.
Lebih menjijikkan, perbuatan lelaki berusia 50-an itu dilihat sendiri isteri keduanya yang kebetulan memasuki bilik tidur anak keduanya berusia 15 tahun di Batu Berendam, Melaka pada 5 September lalu.
Menurutnya, suspek yang terkejut apabila disergah isterinya itu kemudian bertindak mengambil pisau sebelum mengugut untuk membunuh wanita terbabit, dirinya serta anak ketiganya berusia sembilan tahun jika kejadian itu dilaporkan kepada polis.
“Wanita terbabit kemudian menghubungi anak sulungnya berusia 19 tahun yang belajar di Selangor yang juga menjadi mangsa hamba seks suaminya untuk menceritakan kejadian pada 7 September lalu.
“Isteri suspek kemudian membuat satu laporan polis di Balai Aeropolis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 8 September lalu selepas mendapat tahu anak sulungnya itu telah dirogol dari 2015 sehingga 2019,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Susulan laporan itu, suspek ditahan pada 9 September lalu dan direman selama 14 hari bermula 10 hingga 23 September bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
Tambahnya, siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai merogol anak keduanya itu sejak 2019 dengan kejadian terakhir berlaku pada 5 September lalu.
“Sepanjang tempoh berkenaan, kedua-dua mangsa hanya mendiamkan diri kerana bimbang ibu akan diceraikan bapanya menyebabkan mereka hilang tempat bergantung.
“Siasatan juga mendapati remaja berusia 15 tahun itu dirogol antara lima dan lapan kali setiap bulan sejak 2019 manakala anak sulungnya pula dipaksa melayan nafsu seks bapa kandungnya sejak berusia 12 hingga 16 tahun,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah ketika dihubungi mengesahkan kejadian namun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.
Difahamkan, tertuduh akan didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh esok di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tidak kurang lapan tahun sehingga 30 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan jika disabit kesalahan.
Sumber: Malaysia Gazette