Raya Haji Dah Dekat - Ini Panduan Pilih Haiwan Sembelihan Terbaik

GAYA HIDUP
June 23, 2023 - 04:10 PM


Ibadah korban merupakan ibadah sembelihan haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan unta yang dilakukan dengan tujuan semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.

Setiap tahun umat Islam di Malaysia menyambut perayaan Aidiladha dengan melaksanakan ibadah korban di kariah masing-masing. 

Setiap masjid serta surau akan berusaha sedaya upaya mungkin untuk mendapatkan haiwan seperti lembu dan kambing yang sesuai untuk dijadikan korban. Pengusaha ternakan juga berusaha untuk menyediakan bekalan secukupnya bagi memastikan setiap permintaan dapat dijual dengan harga yang berpatutan.

Mesti syok waktu Hari Raya Qurban nanti bila masing-masing ambil bahagian dalam penyembelihan dan agihan daging kepada orang ramai. Dah macam rewang.

Jadi, sempena Aidiladha yang bakal berlangsung kurang dari seminggu lagi, korang kena tahu perkara yang harus dilakukan jika menyertai ibadah korban di tempat masing-masing.

Memilih Haiwan Korban Sendiri

Bagi golongan yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban dengan seekor haiwan yang sempurna, maka digalakkan untuk memilih haiwan korbannya sendiri. Antaranya adalah haiwan korban yang paling banyak dagingnya. Bahkan sebaiknya mencari haiwan yang gemuk dan bertanduk.

Namun jangan risau jika terdapat aib atau kerosakan pada tanduk haiwan. Jika haiwan tersebut tiada tanduk, tanduk terpatah atau pecah, ia tetap sah dijadikan sembelihan korban kerana tidak memberi kesan pada kerosakan daging.

Diutamakan haiwan-haiwan seperti unta, kerbau, lembu, biri-biri dan kemudian kambing untuk dijadikan korban.

Memilih Haiwan Yang Bertanduk

Ulamak berpandangan disunatkan mencari haiwan korban yang bertanduk dan mereka turut bersepakat harus menyembelih haiwan korban anak lembu yang masih tiada tanduk lagi.

Haiwan korban yang bertanduk lebih berat timbangan pahala berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA. Hadis tersebut bermaksud setiap anggota daripada haiwan korban terdapat padanya ganjaran pahala dan ia akan datang pada hari kiamat sebagaimana di dunia tanpa mengurangkan sedikit pun daripadanya, serta haiwan tersebut akan menjadi tunggangan orang yang berkorban itu ketika melintasi titian sirat.

Menyembelih Sendiri Haiwan Korban

Untuk peserta lelaki, disunatkan untuk menyembelih sendiri haiwan korbannya jika berkemampuan (iaitu berkemahiran untuk menyembelih). Hal ini berdasarkan sebuah hadis diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA katanya : "Rasulullah SAW berkorban dengan dua ekor kibas (kambing biri-biri) jantan putih bertompok kehitaman lagi bertanduk, Baginda menyembelih dengan kedua tangannya lalu mengucapkan basmallah serta bertakbir, dan meletakkan kakinya di antara leher dan badan kedua haiwan tersebut". (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan perbuatan Nabi SAW melalui hadis berikut, maka disunatkan bagi mereka yang ingin meaksanakan ibadah korban menyembelih sendiri haiwan korbannya, ini kerana iitba' (mengikut) perbuatan Nabi SAW di mana Baginda sendiri pernah menumbangkan 100 ekor unta dan menyembelih 63 ekor daripadanya. Selebihnya diserahkan kepada Saiyidina Ali RA untuk selesaikannya.

Namun jika dia tidak berkemampuan untuk berbuat demikian, maka boleh juga dia mewakilkan orang lain untuk menyembelih haiwan korban bagi pihak dirinya, namun disunatkan baginya untuk melihat sendiri sembelihan tersebut walaupun bukan dirinya yang melakukan sembelihan itu.

Imam Al-Azra'i RA berkata : "Disunatkan bagi lelaki yang uzur, lemah dan sebagainya - tidak mampu untuk menyembelih sendiri supaya mewakilkannya dan menyaksikan sembelihan tersebut.

Menyaksikan Sembelihan Korban

Buat peserta yang tak mampu untuk menyembelih sendiri terutamanya wanita, jangan risau kerana disunatkan bagi mereka untuk menyaksikan acara sembelihan korban, setelah dia mewakilkan sembelihan tersebut kepada tukang sembelih.

Hal ini berdasarkan sebuah hadis, Nabi SAW memerintahkan kepada anak perempuannya, Saiyidatina Fatimah RA: "Bangun dan pergilah ke tempat penyembelihan haiwan korban kamu dan saksikanlah sendiri kerana dengan titisan darahnya yang pertama akan diampunkan dosa kamu yang terdahulu". (Hadis Riwayat Al-Hakim)

Dapatlah kita fahami dari hadis di atas yang menjelaskan tentang kelebihan menyaksikan sembelihan sendiri kerana dengan titisan darah yang pertama itu akan diampunkan dosa-dosa terdahulu.

Mengagihkan Sendiri Daging Korban

Kemeriahan suasana acara sembelihan korban yang disusuli pula dengan pengagihan daging korban kepada penduduk setempat malah peserta korban juga digalakkan untuk mengagihkan sendiri daging-daging korbannya kepada ahli kawasan kariah.

Ini dapat dilihat sebagai menghidupkan dan menzahirkan syiar agama Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: "Dan kami jadikan unta (sebagai haiwan korban yang akan disedekahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu; pada sembelihan unta tersebut ada kebaikan bagi kamu". (Surah Al-Hajj: 36)

Ibadah korban juga memupuk kasih sayang dan mengeratkan hubungan antara penduduk setempat dengan hanya memberi daging korban. Semua golongan dapat berhari raya sambil menikmati daging-daging korban yang disembelih semata-mata mencari keredaan Allah SWT.

Kelima-lima perkata yang disebutkan di atas menjadi asas dan panduan buat korang yang ingin melaksanakan ibadah korban yang terbaik sesuai dengan keutamaan dan fadhilatnya.

Namun apa yang penting, jangan lepaskan peluang untuk melaksanakan ibadah korban walaupun dengan hanya satu bahagian lembu korban sahaja.