Abang Cekik Adik Sampai Mati - Ayah Dedahkan Anak Alami Trauma Dibuli

TERKINI
July 06, 2023 - 03:35 PM


Semalam gempar satu kes seorang kanak-kanak lelaki berusia sembila tahun maut apabila dipercayai dicekik abang sendiri dalam kejadian di rumah mereka kira-kira pukul 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit menasihati agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menjaga sensitiviti keluarga.

Jiran-jiran yang ditemu bual menyuarakan rasa terkejut dengan kejadian itu dan berkata tragedi itu disedari oleh ibu mangsa yang melihat kejadian menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV)

Qhurun Ain Johari yang juga saksi tragedi berikut berkata ibu mereka ketika itu sedang bekerja telah menghubunginya meminta bantuan untuk memeriksa keadaan dua beradik itu kerana dia melihat abangnya sedang mencekik mangsa.

"Sebaik sahaja saya masuk ke dalam rumah, saya menjerit bila nampak si abang sedang mencekik leher adiknya yang telah pucat dan dipercayai tidak bernyawa" tambahnya.

Jadi Mangsa Buli

Bapa kepada dua beradik itu menyatakan mangsa, Muhammad Haziq Damiri Najli, 9 tahun, sememangnya rapat dengan abang sulung berusia 14 tahun itu. Namun kelakuan remaja terbabit berubah selepas didakwa menjadi mangsa buli di asrama sejak tahun lalu.

Dia mendakwa anaknya sebelum ini pernah memberitahu dibuli dan percaya kesan perbuatan tersebut telah menyebabkan dia mengalami trauma hinggakan sering meracau.

Najli Yakob, 42, berkata insiden mencekik bukan pertama kali berlaku namun dia dan isterinya yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Melaka juga pernah dicekik anaknya sebelum berlaku tragedi hingga meragut nyawa anak ketiga daripada empat beradik.

"Dia (abang) pernah beritahu dicekik ketika tidur dan disimbah air, malah laporan polis berhubung kejadian buli juga telah dibuat. Akibat trauma dan pendam segalanya, saya yakin dia tak sedar apa yang telah dilakukan terhadap adiknya

"Dia mengakui pernah ditumbuk dan disepak guna kasut but namun selepas setahun dia tak lagi sebut nama pelajar itu kerana tak mahu dicederakan lagi" katanya ketika ditemui di rumahnya pada malam semalam.

Meskipun reda dengan pemergian anaknya, namun berharap kedua-dua pembuli itu dikenakan tindakan agar tiada lagi pelajar yang menjadi mangsa seperti yang terpaksa dilalui anaknya hinggakan adik meninggal.

Direman Tujuh Hari

Susulan kejadian tersebut, suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini hingga 12 Julai ini. Remaja terbabit yang juga pelajar sekolah Arab dekat Alor Gajah itu, tiba di Kompleks Mahkamah Melaka pada jam 9 pagi dan kini berdepan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, media tidak dibenarkan merakam gambar suspek susulan arahan yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.