"Awal Muharram Bermulanya Hijrah Nabi" - Doa Akhir Dan Awal Tahun Sempurnakan Maal Hijrah

GAYA HIDUP
July 18, 2023 - 04:14 PM


Awal Muharram bakal menjengah dalam beberapa jam lagi menemui kita semua. Muharram adalah bulan pertama dalam kalendar Islam. Tarikh Maal Hijrah tahun 2023 bersamaan dengan 1 Muharram 1445H jatuh pada hari Rabu, 19 Julai dan merupakan hari cuti umum.

Sempena dengan kedatangan Tahun Baru Islam bersamaan 1 Muharram 1445H, marilah sama-sama kita mengakhiri penghujung tahun dan memulakan awal tahun baru Islam dengan membaca doa akhir tahun dan awal tahun Hijrah.

Doa di awal dan akhir tahun merupakan sesuatu perkara yang baik dan harus dilakukan oleh setiap lapisan masyarakat, namun ia bukanlah perkara yang wajib. Berdoalah semoga dosa kita di tahun yang lalu diampunkan dan amalan kita diterima. 

Juga berdoalah moga di tahun baru ini kita dibantu untuk melawan syaitan, nafsu yang menyeru kejahatan serta dibantu melakukan amal ibadat sebanyak mungkin.

Awam Muharram Bermulanya Hijrah Nabi S.A.W

Awal Muharram adalah salah satu dari hari penting bagi kita sebagai umat Islam kerana ia menandakan bermulanya tahun baru dalam kalendar Islam. Ia diambil dari tarikh perpindahan (hijrah) nabi kita, Muhammad S.A.W yang berpindah dari Mekah ke bumi Madinah.

Sebagai umat Islam, kita digalakkan untuk menghayati dan mengamalkan konsep hijrah ini dalam kehidupan kita. Ini tidak bermaksud kita perlu berpindah dari satu tempat ke tempat lain pada setiap tahun tetapi cukuplah sekadar berhijrah dari sifat yang tidak baik kepada yang lebih baik. Ini juga dikira sebagai hijrah.

Doa Akhir Tahun Sebagai Penutup Yang Sempurna

Doa Akhir Tahun Hijrah (1444H) dibaca sebelum masuk waktu Maghrib (akhir waktu Asar atau selepas solat Asar) pada 29 Zulhijjah 1444H bersamaan 18 Julai 2023 (Selasa).

Doa Awal Tahun Hijrah

Doa Awal Tahun Hijrah pula dibaca selepas masuk waktu Maghrib pada 18 Julai 2023 (Selasa) bersamaan 1 Muharram 1445H.

Kedua-dua doa ini boleh dibaca secara bersendirian atau berjemaah tak kira di mana-mana saja sama ada di masjid, surau  atau tempat kerja.

Di samping itu, disunatkan juga kepada umat Islam untuk berpuasa pada 9 dan 10 Muharram . Ini kerana 10 Muharram (juga dinamakan Hari Asyura yang bermaksud sepuluh) mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri. Manakala disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharram sebagai mukhalafah (membezakan) di antara kaum Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharram.

Semoga dengan doa yang kita baca ini dikurniakan rahmat dan keberkatan daripada Allah dan dilindungi daripada segala perbuatan maksiat yang ditegahNya serta niatkan agar dosa kita yang dahulu dan akan datang diampunkan.

Salam Maal Hijrah.

Sumber : myJAWIKL