"Eh Camtu Pula" - Ibu Lapor Polis Anak Cedera Dirotan Guru Besar

TERKINI
July 20, 2023 - 06:03 PM


Gara-gara gagal menyiapkan kerja sekolah, seorang pelajar lelaki Tahun Lima sebuah sekolah rendah di Segamat mendakwa dirotan oleh guru besar sekolah berkenaan.

Mangsa dikatakan mengalami kecederaan di badan serta beberapa bahagian muka telah menyebabkan ibunya bertindak membuat laporan polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, hasil siasatan awal yang telah dijalankan didapati mangsa telah dirotan oleh guru sekolah disebabkan mangsa gagal menyiapkan kerja sekolah dan bersikap sambil lewa semasa sesi pembelajaran di sekolah.

"Pada jam 12.10 pagi (Rabu), satu laporan polis telah dibuat oleh ibu mangsa mengatakan anaknya yang merupakan pelajar Tahun Lima sekolah itu mengalami cedera pada bahagian leher kiri, bahu kiri dan calar di muka akibat dirotan seorang guru besar wanita berusia 50'an.

 “Siasatan awal mendapati pelajar itu telah dirotan oleh guru berkenaan disebabkan mangsa gagal menyiapkan kerja sekolah dan bersikap sambil lewa semasa sesi pembelajaran di sekolah,” kata Zamry.

Susulan kejadian terbabit, guru tersebut telah diambil keterangan oleh pihak polis dan siasatan masih dijalankan.

Ibu pelajar berkenaan setuju dengan tindakan merotan, tetapi bukan sehingga mencederakan.

"Ketika saya sekolah dulu, guru dibenarkan merotan, tetapi merotan yang tidak mencederakan. Waktu tu tidak jadi kesalahan pun (guru rotan murid). Tapi bezanya sekarang ini ada segelintir guru yang merotan sehingga tahap keterlaluan seolah melepaskan geram

"Dalam situasi yang tertentu, kita kena balik pada yang asas juga. Tidak salah rotan untuk mendidik, tetapi bukan mencederakan dan mendatangkan trauma, seperti yang berlaku kepada anak saya,” katanya.

Dia juga tidak bersetuju dengan sikap segelintir ibu bapa yang tidak membenarkan anak dirotan walaupun melakukan kesalahan sehingga mencetuskan hubungan antara keluarga dan pihak sekolah.

Bagus juga apa yang dibuat oleh ibu pelajar berkenaan yang tidak memenangkan anaknya, sekaligus ingingkan keadilan daripada pihak sekolah dan tidak sewang-wenang menuduh guru sebarangan.