Bawa Family Korang Beriadah Di 5 Port Terbaik Tenangkan Jiwa Dekat Selangor!
TRAVELKadang kala mencari masa untuk bersama keluarga mungkin bukan sesuatu yang mudah. Kehidupan seharian kita semakin lama semakin sibuk, termasuk di hujung minggu yang terlampau sibuk. Ada saja kerja yang perlu dibereskan sehingga terpaksa melupakan waktu bersama keluarga.
Jika anda yang berada di kota raya, banyak port terbaik untuk tenangkan fikiran dan jiwa bersama keluarga. Tak perlu fikirkan kerja buat sementara waktu, hanya habiskan masa bersama orang yang kita sayang.
Sebagaimana yang kita tahu, Selangor merupakan sebuah destinasi pelancongan dengan pelbagai lokasi menarik dari kawasan pantai, lanskap bandar, elemen kehijauan, dan banyak lagi latar yang menakjubkan untuk anda memperagakan 'Outfit Of The Day' atau OOTD.
Tak perlu lagi pening kepala mana tempat yang terbaik untuk melepaskan segala penat di sekitar Selangor. Ini lima lokasi terbaik untuk mencuri sedikit masa bersama keluarga dan dalam masa yang sama, anda juga boleh healing!
1. Bukit Jelutong Eco Community
Jika anda memang pencinta haiwan, Bukit Jelutong Eco Community memang 'dibina' untuk sesiapa yang mencari destinasi eko-pelancongan.
Sebuah taman riadah dan rekreasi yang terletak di Shah Alam ini menawarkan suasana yang cukup istimewa. Gabungan suasana kampung dengan alam semulajadi, taman ini sungguh menenangkan. Min syorkan anda untuk datang awal pagi, lebih banyak tarikan yang boleh dinikmati, cuaca juga tidak terlalu terik dan yang penting sekali ia tidak terlalu ramai orang.
Bukit Jelutong Eco Community menyediakan trail untuk anda yang inginkan aktiviti hiking dan dikatakan sebagai trail yang mudah serta lebih sesuai buat anda yang ingin lakukan pendakian yang 'ringan-ringan' je.
Kalau nak berkelah, sini memang tempatnya kerana Bukit Jelutong Eco Community menyediakan banyak port lepak dan tempat rehat. Hamparkan saja tikar anda dan makan bersama keluarga.
Ada pelbagai haiwan ternakan di Bukit Jelutong Eco Community Park ni. Kat sini ada haiwan seperti itik, angsa dan kambing. Itik-itik tu memang ada di dalam tasik. Anda dengan anak-anak boleh bagi makan dekat haiwan yang ada di sini.
Alamat : Bukit Jelutong Eco-community Park, Jalan Lelangit U8/45, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor
Waktu operasi : 7 pagi - 7 malam setiap hari
2. Dragonfly Park Eco Grandeur
Dragonfly Park yang terletak di Eco Grandeur, Puncak Alam bakal menjadi lokasi yang sempurna untuk sesiapa yang ingin luangkan masa dengan melakukan aktiviti riadah pada waktu petang. Sudah pasti anda akan terpukau dengan view yang cukup mendamaikan dengan rumput dan pokok-pokok menghijau serta kawasan perumahan sangat lawa.
Eco Grandeur Puncak Alam merupakan kawasan perumahan yang dibina berkonsepkan mesra flora dan fauna. Seperti namanya, kawasan tasik yang ada di sini adalah berbentuk seperti dragonfly atau pepatung.
Selain sesuai untuk beriadah, lokasi ini sangat sesuai untuk bergambar. Gazebo disediakan di sini tau, sudahlah kawasannya cantik, diberikan pula tempat berteduh yang sangat cantik dan sempurna.
Alamat : Dragonfly Park @ Eco Grandeur, 47000, Puncak Alam, Selangor
Waktu operasi : 10 pagi - 8 malam setiap hari
3. Taman Saujana Hijau
Antara taman yang perlu anda kunjungi bersama keluarga nanti ialah Taman Saujana Hijau. Sebuah taman yang membawakan vibes dan feel luar negara, Taman Saujana Hijau memang unik dan luarbiasa kerana mempunyai tiga taman berlainan iaitu Taman Eropah, China serta Inggeris.
Setiap taman ini bukan sahaja membawakan estetik tertentu, malah tumbuhan yang ditanam di setiap bahagian ini akan mencerminkan budaya dan identiti setiap tema. Woww gitu, kan?
Apa yang ada di Eropah, di Taman Saujana Hijau juga boleh melihat kawasan berbukit yang dikelilingi pokok-pokok pine dan pagar kayu yang sama seperti taman-taman di benua itu. Memang akan rasa seperti berada di sini. Sesuai sangat untuk dijadikan tempat bergambar, lebih-lebih lagi untuk photoshoot perkahwinan.
Taman China pula mempunyai beberapa Chinese-style pagoda yang terletak di sekitar taman. Kalau nak rasa seperti filem Mulan, boleh-lah bergambar di sini. Taman Inggeris pula dipenuhi bunga-bunga ala English dan pokok Juniper menghiasi taman ini.
Memang cukup cantik. Terdapat track jogging sepanjang 2.8km yang tersedia buat yang sukakan aktiviti ini atau menunggang basikal. Namun, aktiviti yang tentunya min cadangkan sudah tentulah berkelah.
Simple namun cukup bermakna untuk anda dan keluarga. Berkelah dalam suasana seperti ini, tentunya akan membuatkan setiap detik menjadi istimewa. Pilih saja taman yang anda gemari dan spot-spot terbuka untuk anda set-up dan enjoy!
Alamat : Jalan P11, Presint 11, 62000, Putrajaya
Waktu operasi : 7 pagi - 7 malam setiap hari
4. Taman Persahabatan Selangor - Jepun
Jika anda peminat suasana Jepun dengan pokok cherry blossom mereka dan taman-taman yang minimalis, di sini merupakan tempat yang tepat untuk anda beriadah dan bergambar.
Dibuka pada bulan Mac tahun 2021, dengan lanskap indah yang kemas dan elegan, suasana aman dan jambatan-jambatan kecil dikelilingi air tasik, memang merefleksi budaya masyarakat Jepun. Anda juga boleh terasa bagai berada di negara matahari terbit itu.
Estetik di taman ini memang sangat unik dan cantik membuatkan korang terlupa yang korang sebenarnya berada di Shah Alam, bukan di negara Jepun. Silap-silap gambar yang korang ambil tu akan buat rakan-rakan korang keliru nanti. Sebab memang feeling di sini seolah-olah korang berada di Osaka dan Hokkaido.
Terdapat beberapa tarikan menarik yang korang boleh pergi di sini. Antara tarikan yang ada di taman ini ialah Laman Zen, Kolam Maze dan Gerbang Torii Tsukubai.
Yang paling best-nya, terdapat program persembahan kebudayaan Jepun dan Selangor pada setiap hari minggu tau. Jadi kalau korang plan nak berjogging di Taman Tasik Shah Alam tu, boleh lah singgah sebentar dan menikmati serta mempelajari budaya Jepun di taman ini.
Alamat : Seksyen 14, 40000, Shah Alam, Selangor
Waktu operasi : 10 pagi hingga 6.30 petang, ditutup pada Isnin
5. D'Network Setia Eco Park @ Setia Alam
Bertemakan 'Taman Musim Panas di Malaysia', terdapat 38 jenis tumbuh-tumbuhan eksotik dan 18 jenis pohon-pohon renek yang dibawakan dari pelbagai negara.
Terdapat juga Pancutan Air Muzikal yang Pertama di Dunia dengan menggunakan tenaga solar, berkonsepkan Simfoni Kelestarian. Keseluruhan premis di D'Network Setia Eco Park ini juga menggunakan tenaga solar bertujuan untuk menekankan konsep ekosistem yang lestari untuk semua pengunjung.
Selain itu, D'Network Setia Eco Park terdapat laman untuk bermain petanque, iaitu boling padang dan juga dapat belajar bermain sukan yang berasal daripada Perancis ini bersama pengunjung lain. Banyak aktiviti menarik boleh buat di sini, termasuk nak beriadah, merehatkan badan, bersukan atau jogging.
Alamat : Jalan Setia Nusantara U13/17, Setia Alam, Seksyen U13, Setia Eco-park, 40170 Shah Alam, Selangor
Waktu operasi : 8 pagi hingga 12 tengah malam
Bawa-lah keluarga dan teman-teman anda beriadah bersama ke taman-taman yang menarik ini dan yang paling penting, masuk adalah percuma guys!