Trip Bajet 10 Hari di Bumi Kemboja | Phnom Penh, Siem Reap, Battambang & Kg Cham

TRAVEL
August 02, 2023 - 12:50 PM


Kemboja merupakan salah satu destinasi yang cukup popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Selain barangan yang agak murah, makanan halal di sini juga agak mudah didapati. 

Bagi korang yang bercadang untuk ke Kemboja buat pertama kali, bolehlah jadikan perkongsian Nur Arina Bakeri sebagai rujukan.

Saya memang ulang alik ke Phnom Penh sebab saya bawa dua group, group pelajar (5 hari) dan kawan-kawan (5 hari).

Penginapan

Di Phnom Penh, kami tinggal di 2 hotel: Phnom Penh Le Vincent Hotel dan Best Central Point Hotel.

Saya syorkan mana-mana pengembara untuk menginap di Phnom Penh Le Vincent Hotel kerana lokasinya lebih hampir dengan Old Market. Hampir juga dengan kedai makanan halal. Hotelnya juga lebih selesa dan bersih. Stafnya pandai bertutur dalam Bahasa Inggeris dan pernah juga membantu kami menelefon hotel lain yang tidak boleh berbahasa Inggeris. Saya syorkan juga jangan menginap di Best Central Point Hotel tu. Biliknya semak dengan perabot yang tidak berkaitan huhu. Tilam pun tak menarik.

Di Kg Cham, kami menginap di Reasmey Cheanich Hotel, dalam 3 minit jalan daripada pasar. Hotelnya agak mewah sikit, kenalah dengan harga dia. Cuma staf sini tak fasih berbahasa Inggeris. Boleh cuba guna Google Translate ya.

Di Siem Reap pula kami menginap di Glow Inn Hotel. Oh yang ni mmg recommended! Semuanya ‘purrfeect’ termasuklah servis yang diberikan oleh staf hotel. Siap ada kolam dan tempat lepak ya. Vibe dia pun menarik juga.

Di Battambang pula kami menginap di Royal Hotel. Dalam 4 minit berjalan daripada Central Market Battambang. Menarik juga cuma lantainya berpasir sikit. Tapi staf dia baik.

Pengangkutan

Untuk perjalanan interbandar, kami gunakan perkhidmatan daripada syarikat Virak Buntham dan Cambolink21 Express. Kami naik van, bas mini dan ‘hotel bus’. Untuk Virak Buntham boleh tempah di laman web dia secara atas talian. Jika Cambolink21 pula kami tempah melalui telefon sahaja (sebab waktu ni kami terdesak, ada pilihanraya umum pada hari sebelumnya tu, jadi tiket memang semua dah ‘sold out’). Kemudian, boleh terus pergi ke pusat Cambolink21 untuk buat bayaran. Kami pada awalnya merancang untuk naik keretapi tapi tiket habis huhu.

Van Virak Buntham ni agak selesa jika nak dibandingkan dengan Cambolink21. Hotel bus pula menarik tapi nasiblah kalau kena satu katil dengan orang yang berbadan besar sebab katil tu disediakan untuk 2 orang tapi ruangnya agak kecil dan sempit. Boleh cuba pilih tempat yang dibawah sebab nak naik ke tingkat atas tu tiada tangga, kena pandai-pandai lompat naik. Jangan risau memang dia akan setkan setiap katil sama jantina.

Setiap bas akan ambil penumpang di syarikat masing-masing. Jika di Phnom Penh, boleh pergi terus ke pusat, berhadapan dengan Japan Hospital. Ada monitor disediakan di situ, boleh rujuk terus masa dan nombor bas yang perlu kita naik. Ada juga mereka sediakan tempat menunggu ber-aircond disebelahnya. Pengumuman akan dibuat setiap kali pintu bas dibuka.

Di Siem Reap pula ada dua tempat menunggu bas. Satu Virak Buntham yang hampir dengan Old Market/ bulatan. Satu lagi di tepi jalan besar. Kalau naik bas turun di Siem Reap, bas akan turunkan di tepi jalan besar tu. Untuk naik bas, boleh pilih mana-mana stesen. Cumanya jika hendak naik daripada stesen yang dekat Old Market tu perlu tunggu 40 minit awal sebab nanti perlu naik shuttle van untuk pergi ke stesen tepi jalan tu. Kalau tak nak awal, boleh je naik Grab terus ke stesen tepi jalan tu.

Di bandar Phnom Penh dan Siem Reap, boleh cuba guna aplikasi Grab dan PassApp. Cuma jika gunakan PassApp, kita perlukan nombor telefon tempatan. Simkad boleh dibeli di lapangan terbang Phnom Penh dengan harga USD6 (untuk unlimited data selama 7 hari, syarikat telekomunikasi Metfone). Tak silap simkad Smart pun harganya sama sahaja cuma ada had penggunaan data. Saya roaming Maxis sahaja sepanjang di Kemboja.

Di bandar kecil seperti di Kampong Cham dan Battambang, hanya aplikasi PassApp sahaja yang boleh digunakan.

Ada beberapa jenis kenderaan yang boleh digunakan: tuktuk, remorque (ala-ala kereta lembu berkuasa enjin huhu), kereta dan lain-lain. Untuk tuk-tuk, maksimum penumpang boleh masuk 3 orang. Kalau remorque dalam aplikasi tu tulis maksimum 4 orang tapi boleh je muatkan 5 orang, cuma perlu bayar lebih kepada pemandu tersebut.

Untuk di Siem Reap dan Battambang, kami gunakan khidmat servis daripada Encik Salis TukTuk Driver (+85510847531) dan anaknya Lany (Lany Angkor Driver (FB) - +85593891202). Servis mereka ni memang ‘thorrbaekkk’ sebabnya mereka ni memang tepati masa. Boleh berbahasa Melayu juga. Bayaran untuk 1 tuktuk untuk 1 hari adalah USD15. Setakat ni paling murah saya pernah jumpa. Harganya pun masih tak naik-naik sejak tahun sebelum COVID-19 lagi.

Di Battambang pula kami ke kampung untuk naik Bamboo Train dan Bat Cave dengan khidmat tuktuk hotel sahaja. Boleh hubungi Roeun Narin (FB) untuk tempah hotel dan tuktuk dia. Bamboo Train USD 10 dan Bat Cave USD 12. Kalau pergi beramai-ramai, berbaloi juga dengan harga tu.

Matawang

Semua tempat boleh guna USD dan Riels. Boleh campur kedua-dua matawang. Cuma jika gunakan USD, sila pastikan duitnya tidak dilipat, tiada contengan atau ‘stain’, tidak koyak dan USD2 sekeping juga tidak laku di mana-mana tempat di Kemboja. USD1 mereka akan kira 4000 Riels. Di kedai tukaran matawang sahaja nilainya berubah-ubah dalam 4125 Riels untuk USD1.

Makanan

Di Phnom Penh banyak restoren makanan halal kawasan berhampiran dengan Royal Palace dan Old Market. Ada juga kedai masakan padang di tepi Sisowath Riverside tu. Boleh try juga makan di kedai Dulang Café and Restaurant. Kedainya baru sangat buka. Pemiliknya orang Malaysia yang dah menetap di sana. Kalau nak cuba makanan tempatan, boleh ke seberang berhampiran dengan Sokha Hotel (boleh book Grab dan turun di One Pizza), situ memang ada masjid dan komuniti Muslim. Di kedai serbaneka juga ada jual banyak makanan halal terutama yang diimport daripada Thailand dan Malaysia. Burger CP boleh cari di 7e. Kerepek Nangka pun boleh cuba juga, ada daripada Thailand dan ada daripada Kemboja. Kawasan Masjid Al-Serkal juga banyak kedai makanan halal, saya ada makan di kedai Saron Restaurant Muslim Food. Jika hendak ke sini, boleh datang awal sikit, sebelum jam 2030. Tapi dia buka kedai awal jam 0500.

Di Siem Reap pula, mudah nak cari makanan halal juga. Boleh pergi ke kawasan berhampiran dengan Masjid AlNaekmah. Makanan situ semua sedap. Kedai Siem Reap Backpackers Halal Restaurant, Muslim Kitchen, gerai kecil depan SR Backpackers (ada jual nasi goreng daging dan nasi ayam? kot), semualah sedap. Harga pun okay juga, standard.

Di Battambang agak susah sikit untuk cari makanan halal. Bila kami google Motafa Halal Food, waktu kami datang tu kedainya dah tak wujud, ada renovation sikit. Jadi kami ke kawasan Masjid Phum Chin, situ ada jumpa seorang brother ni dia dah lama kerja di Malaysia, jadi dia bawa kami makan di kedai bubur. Sedap juga buburnya. Lokasi kedainya sepanjang Jalan 159D, tepi selekoh (kalau google kedainya memang tak muncul). Ada juga yang beritahu ada banyak kedai makanan halal di kawasan Masjid Norea Leu tapi kami tak sempat pergi tengok kawasan ni. KFC di Kemboja juga halal ya.

Dobi

Dobi pula murah di Phnom Penh. Biasanya USD1/kg. Siem Reap pula dalam USD1.5/kg. Jika di hotel boleh sampai USD3/kg. Mahallll. Siap dalam masa 1 hari, hantar pagi dapat malam tapi bergantung pada terik cahaya matahari.

Tempat lawatan

Phnom Penh

1. Mekong Boat Trip USD5 (termasuk air pilihan). Boleh beli tiket di kaunter depan Night Market.

2. Royal Palace USD10 (tapi saya tak masuk). Ada waktu-waktu yang dia buka dan tutup. Tak silap pagi jam 0700 dah buka sampai jam 1100. Kemudian buka semula jam 1400 sampai petang. Kami berlegar-legar di taman hadapan Royal Palace sahaja.

3. S21 Tuol Sleng Genocide Museum USD5 + USD5 (dengan audio)

4. Aeon Phnom Penh

5. Wat Phnom

6. Central Market (buka jam 0800 agaknya, tapi tutup jam 1800, kalau nak pergi, boleh pergi awal sikit, haritu saya pergi dah tutup tak sempat nak bershopping huhu)

7. Masjid Al-Serkal

Siem Reap

1. Angkor Wat USD 37 (untuk one day pass), USD 62 (untuk 3 day pass)

2. Wat Thmei USD3 (Killing fields juga cuma saiznya lebih kecil berbanding S21)

3. Kampong Phluk/ perkampungan atas air USD15 (musim panas) USD20 (musim hujan). Bayaran adalah untuk perkhidmatan bot. Bot tu akan bawa kita ke restoren atas air. Bolehlah buat2 rasa daging buaya kuang3. Siap ada sangkar k. Ada 3 perkampungan atas air yang boleh pergi Kampong Phluk, Kampong Khleang dan Mechrey.

4. Old Market (sebelah Pubstreet)

5. Made in Cambodia Market. Ni macam shopping center je, local-made.

6. Artisan Angkor (Free) (Staf akan terangkan produk yang dibuat oleh pelajar vokasional seperti ukiran kayu, batu, anyaman songket dan lain-lain). Boleh jumpa produknya di lapangan terbang juga. Harga tak banyak beza antara lapangan terbang dan kilang.

7. Masjid Al-Naekmah

Battambang

1. Fishing village

2. Bamboo train USD5 (tuktuk return trip USD 10)

3. Bat cave USD1 (tuktuk return trip USD12)

4. Baha’i Worship House (agama baru katanya di Kemboja, Battambang adalah tempat penyembahan agama Baha'i yang terbesar di Kemboja)

5. Stesen keretapi (kononlah nak beli tiket tapi habis huhu)

6. Masjid Phum Chin

Kampong Cham

1. International school (ada program sukarelawan bersama pelajar)

2. On My Way (salah sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang membawa misi dan visi kitar semula)

3. Masjid Phum Roka

Kos keseluruhan (anggaran)

+/-RM2500 untuk 10 hari (tak termasuk shopping).

Tiket kapal terbang RM500

Pengangkutan RM500

Penginapan RM500

Tiket masuk RM500 (Sebab saya beli 3-day pass untuk masuk Angkor 2 hari)

Makanan RM300

Roaming RM100

Insurance AIG RM83 (Gold)

Rasanya perkongsian ini hampir lengkap dan ribuan terima kasih kepada yang kongsikan semoga bermanfaa.

 

Destination: