"Rilek Je Dia Berkawan Dengan Tikus Gergasi" - Oyen Jadi Tumpuan 95% Pengunjung Zoo Negara
GAYA HIDUPKita tahu yang kucing ini sememangnya haiwan yang comel dan manja serta menjadi pilihan kepada pencinta 'si bulu' ini. Karakternya yang manja dan senang untuk dijaga menjadi sebab mengapa haiwan ini mampu untuk menjadi sahabat baik kepada manusia.
Di Zoo Negara pula, terdapat seekor kucing berwarna oren yang berkawan baik dengan rodensia atau tikus gergasi, capybara sehinggakan menetap dan makan sekali bersama haiwan itu.
Kehadiran kucing yang dinamakan Oyen itu tular kerana bersahabat baik dengan capybara dan serta-merta melonjakkan jumlah pengunjung ke Zoo Negara hingga melebihi 3,000 orang pada hujung minggu.
Naib Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata Oyen yang kini menjadi 'Star of Zoo Negara' mempunyai populariti luar biasa ekoran keunikan persahabatannya dengan capybara sejak tahun lalu.
"Setiap hari, 95 peratus daripada pengunjung yang hadir hanya mahu melihat Oyen. Oyen sangat popular, sebab itu saya panggilnya The Star of Zoo Negara, malah kedatangan pengunjung juga meningkat dua kali ganda terutamanya pada hujung minggu" ujarnya.
Rosly berkata demikian kepada media selepas pemasangan papan tanda rasmi 'Oyen' di kandang capybara berkenaan semalam menggantikan papan tanda sebelum ini yang rosak akibat ditendang pengunjung tanpa sengaja.
Beliau menambah yang mereka kini sedang berusaha mencari pasangan dan seusia dengan Oyen serta mahu anaknya nanti untuk dijadikan tatapan pengunjung.
"Berbanding dahulu, Oyen kini sudah jinak dan boleh didekati. Tujuan kami mahu rapat dengan Oyen supaya jika satu hari nanti Oyen jatuh sakit, mudah untuk kami pegang dan merawatnya,” kata Rosly.
Persahabatan kedua-dua spesies ini bukan sahaja terkenal dalam kalangan warga tempatan malahan sudah menjadi bualan hangat di media sosial di luar negara selepas video memaparkan Oyen yang merupakan kucing buangan tidur dan memeluk capybara.
Tidak hairanlah jika Oyen dianggap sebagai selebriti di Zoo Negara kerana berjaya menarik ramai orang untuk ke sana.
Sumber berita : Bernama