"Rupanya Brahim's Milik Adik Pak Lah" - CEO Pembekal Hidangan MAS 'Buka Cerita' Kontrak Asal Sepatutnya Tamat 2028

TERKINI
August 30, 2023 - 05:40 PM


Persengketaan antara dua syarikat taikun perniagaan yang membabitkan industri penerbangan negara antara subjek diperkatakan sepanjang minggu ini.

Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang dahulunya dikenali Malaysia Airlines System (MAS) sudah pun menjalinkan dua dekad hubungan dengan Brahim's Holdings Berhad (Brahim's) sebagai pembekal makanan sajian penerbangan dan perkhidmatan.

Sehingga artikel ini ditulis belum ada kata putus, hubungan kedua-dua pihak masih belum tamat secara rasmi dan berdokumen.

Ikuti luahan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brahim's, Mohd Fadhli Abdul Rahman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Brahim's Food Services Sdn Bhd (BFS) seperti yang diterbitkan dalam akhbar Harian Metro bertarikh 25 Jun 2023.

Bagaimana bermulanya hubungan Brahim's dengan Malaysia Airlines sebagai pembekal makanan penerbangan dan perkhidmatan?

Hubungan Brahim's dan Malaysian Airline System yang mana sekarang sudah menjadi Malaysia Airlines Berhad bermula sejak 2003. Bukanlah sejak 1997 atau 1998 seperti sangkaan umum. Pada 1997 atau 1998 itu sebenarnya adalah tahun kita berpindah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Subang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di mana kita berada sekarang.

Tetapi apabila kita berpindah dari Subang ke KLIA, syarikat pembekal makanan kepada penerbangan Malaysia Airlines System masih lagi MAS Catering Sdn Bhd (MCSB). Masih lagi belum Brahim's. Brahim's hanya mengambil alih perniagaan katering atau pembekal makanan itu pada September 2003.

Faktor pembelian pada pengambilalihan dibayar dengan harga yang sangat mahal dan disebabkan itulah kita memohon kepada syarikat penerbangan itu untuk memberikan kepada kita kontrak atau pun perjanjian dalam jangka masa yang panjang selama 25 tahun. Saya tidak menafikan bahawa Pak Brahim (Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi) yang orang sebut-sebut sekarang ini adalah adik Pak Lah (bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi) ataupun mengenai kontrak 25 tahun, semua itu saya takkan menafikan.

Ada kebenaran di situ, tetapi kita perlu ingat dan kita perlu tahu bahawa di sebalik itu ada sebenarnya cerita membuatkan perkara seperti itu terjadi. Kontrak asal memang betul selama 25 tahun iaitu dari 2003, sepatutnya sehingga 2028. Tetapi pada 2015 kontrak itu ditamatkan hanya selepas 12 tahun perjalanan kontrak. Kemudian Malaysia Airlines Berhad hanya memberi kontrak tambahan lima tahun bagi tahun 2015 ke tahun 2020 dan seterusnya sepatutnya ke tahun 2025.

Apa yang sebenarnya berlaku kerana dikatakan kontrak perjanjian akan tamat lebih awal?

Saya lebih suka berikan kronologi dari tahun ke tahun supaya semua orang perlu jelas dan faham apa sebenarnya berlaku. September 2003 semasa Brahim's mengambil alih MCSB, syarikat itu mempunyai kerugian sebanyak RM240 juta di dalam penyata perakaunan syarikat dan banyak masalah. Sistem tidak betul. Pengurusan tidak baik. Pengaliran kewangan keluar masuk, pengaliran membeli barang mentah menghadapi pelbagai masalah. Ini kita dapati apabila kita mula memasuki syarikat MCSB.

Ketika itu untuk mengambil alih syarikat ini kita perlu membayar RM170 juta. Jadi apabila kita perlu membayar satu jumlah yang sangat besar, sudah semestinya kita akan memohon untuk jangka masa kontrak itu sedikit panjang iaitu 25 tahun. Pada ketika itu kita mempunyai hubungan perkongsian dengan LSG Sky Chefs (LSG) iaitu syarikat dari Jerman. Kenapa syarikat dari Jerman? Sebab pada ketika itu apabila kita hendak mengambil alih syarikat penyajian penerbangan ini, kita bukanlah pakar dalam bidang ini. LSG memang pakar kerana mereka mempunyai puluhan dapur memasak di seluruh dunia.

Brahim's mempunyai pegangan sebanyak 51 peratus dan LSG mempunyai pegangan sebanyak 49 peratus. Dua syarikat ini dipertemukan di tengah-tengah sebagai LSG Brahim's Investment sebab ini adalah syarikat pelaburan.

Syarikat LSG Brahim's Investment ini memegang sebanyak 70 peratus menerusi LSG Brahim's Airlines Catering manakala 30 peratus lagi dipegang oleh MAS atau pun sekarang MAB. Inilah dia struktur pegangan saham berkenaan. Bersama LSG, Brahim's telah membawa syarikat penyajian penerbangan ini ke satu tahap yang lebih baik kerana kita bekerjasama dengan pakar.

Pada 2013 kita sama-sama berjaya menghapuskan RM240 juta kerugian terkumpul sebelum ini kerana setiap tahun kita merekodkan keuntungan. Sebab itu jika orang bertanya, selama ini mempunyai keuntungan. Itu memang betul, saya tidak menafikannya. Jika orang bertanya 25 tahun kontrak, itu juga betul. Tetapi ada cerita selanjutnya. Betul 25 tahun kontrak, namun selanjutnya telah dimansuhkan. Betul 25 tahun kontrak, tetapi kerana kita membayar RM170 juta.

Pada 2013 di tahap kemuncak, kita diarahkan mengambil alih LSG. Justeru, kita berbincang dengan LSG dengan menawarkan pengambilalihan 49 peratus pegangan mereka. Apa yang terjadi ialah mereka tidak mahu untuk keluar atau lepaskan pegangan.

Tetapi apakan daya kerana kita harus mengemukakan sebab kenapa kita perlu mengambil alih pegangan saham 49 peratus itu. Ini kerana pada ketika itu tujuan kerajaan untuk pun meMalaysiakan keseluruhan aktiviti industri penerbangan negara. Sebabnya tampuk pemerintahan pada ketika itu ingin ataupun menuju kepada hasrat meMalaysiakan industri penerbangan, kita tidak boleh ada syarikat Jerman itu di dalam pegangan.

Apa yang berlaku, 2013 di akhir perbincangan setelah bertukar pandangan, proses perbincangan dan sebagainya kita perlu membayar kepada LSG sejumlah RM135 juta. Bayaran diberikan dan mereka dengan berat hati meninggalkannya. Jadi 2013 kita sudah mengambil alih 70 peratus keseluruhannya.

Jadi kalau kita tengok, selama 10 tahun antara 2003 sehingga 2013 keuntungan digunakan untuk menghapuskan kerugian yang lama. Kemudian pada 2013 juga kita membeli LSG selepas diarahkan.

Selepas itu, pada 2014 Malaysia Airlines ditimpa musibah MH370 dan MH17. Kita turut sama bersedih bukan kerana bisnes, tetapi lebih kepada tragedi yang berlaku. Musibah itu membuatkan penerbangan Malaysia Airlines merudum dan merana yang mana kita turut terkesan kerugian. Daripada musibah itu, Parlimen Malaysia pada ketika itu bersama dengan Khazanah Nasional Berhad mengemukakan satu usul yang dinamakan Pelan Penyusunan Semula MAS pada 2014 dan Akta Penerbangan Malaysia Berhad (Pentadbiran) 2015. Akta ataupun tindakan ini adalah untuk menyelamatkan Malaysia Airlines sekali lagi. Di sinilah bermulanya kisah hitam kita apabila kontrak asal selama 25 tahun dibatalkan. Perjanjian katering dibatalkan.

Bermakna tempoh 2003 hingga 2015 baru sahaja 12 tahun berlalu termeterainya perjanjian 25 tahun kontrak sebelum ini namun sudah pun dibatalkan.

Jadi ini bermakna kita secara langsung sebenarnya tiada pun melalui kontrak 25 tahun sebab baru 12 tahun sudah dibatalkan tanpa ada sebarang pampasan.

Masih berbaki 13 tahun tiada sebarang pampasan atau bayaran balik untuk baki tahun kontrak berkenaan. Itu perkara pertama yang terjadi kepada Brahim's.

Perkara kedua terjadi adalah harga. Harga kontrak lama perjanjian katering sudah berubah disebabkan Malaysia Airlines perlu untuk meneruskan perkhidmatan pembekal makanan. Harga dikurangkan sebanyak 40 peratus sekurang-kurangnya. Perkara ketiga, mereka hanya memberi perjanjian lima tahun diikuti tambahan lima tahun

Lima tahun pertama sepatutnya berakhir pada 2020 dan lima tahun kedua sepatutnya tamat 2025.

Perkara keempat terjadi, di dalam akaun kira-kira, kita dapati Malaysia Airlines masih berhutang dengan kita sekurang-kurangnya RM75 juta dan hutang itu terhapus begitu sahaja kerana syarikat Malaysia Airlines System sudah tiada, kalau nak tuntut hutang kena tuntut daripada MAS namun sekarang MAB.

Ramai menganggap Brahim's sudah mengaut keuntungan besar sepanjang perhubungan dengan Malaysia Airlines. Komen?

Netizen atau orang di luar memang berfikir bahawa perniagaan ini adalah satu perniagaan yang boleh membawa keuntungan besar.

Tetapi yang sebenarnya perniagaan ini lebih kepada kerja amal membantu syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan negara Malaysia sebab kita tidak mahu sekali-kali nama negara menjadi buruk.

Kita terus menerus merana kerana pada tahun 2016, selepas harga diturunkan sebanyak 40 peratus dan RM75 juta hutang syarikat itu dengan kita terhapus, kita juga terpaksa menjual semula saham 49 peratus yang diambil alih dari LSG dan jual semula kepada Singapore Airport Terminal Services (SATS) yang mempunyai perniagaan sama dengan kita. Bersama Brahim's SATS Investment Holdings mempunyai 70 peratus di dalam Brahim's SATS Food Services yang mana yang 30 peratus lagi milik MAB.

MAB tidak pernah hilang 30 peratus pegangannya sejak tahun 2003. Kedudukan mereka adalah kekal memegang saham terus daripada Brahim's Food Services sebanyak 30 peratus.

Jadi kita sudah cuba sekali lagi melihat kepada formula yang kita sudah berjaya bersama-sama LSG sebelum itu. Kita mencuba sekali lagi bersama dengan pakar untuk menaikkan semula.

Tidak timbul soal Brahim's tidak ada upaya atau pun tidak mencuba. Kita sentiasa mencuba untuk memajukan servis atau perkhidmatan kita.

Kita mencuba 2016, 2017 dan 2018 namun masih lagi mempunyai kekangan kerana harga yang ditetapkan di dalam Perjanjian Katering Baharu (NCA) yang bermula 2015 tadi termasuk tempoh perjanjian kontrak baharu menjadi kepada 5 + 5 iaitu 2020 sehingga 2025. Di dalam perjanjian ini juga kita tahu harga dikurangkan 40 peratus.

Di dalam kekalutan Covid-19 pula syarikat SATS mengambil keputusan untuk keluar dan apa yang terjadi Dewina Brahim's mengambil alih dan memegang 70 peratus saham. Di sini telah menjadi Brahim's Dewina Investment Holdings dan di sini menjadi Brahim's Food Services.

Tiba di tahun 2020 kita digemparkan dengan Covid-19. Sekali lagi kita ditimpa musibah. Perniagaan kita yang sebelum ini mempunyai produksi atau pengeluaran sebanyak 55,000 meals atau sajian sehari, merudum teruk kepada hanya di sekitar 1,000 sehari. Ada satu hari paling teruk yang mana saya sangat sedih dan menangis apabila pengeluaran makanan kita hanya berjumlah 218 sajian sehari.

Pelik dan hairan bagaimana syarikat ini Brahim's menerusi BFS masih lagi mahu meneruskan dan masih lagi boleh meneruskan. Bagi saya, secara peribadi saya melihat Malaysia Airlines adalah syarikat penerbangan nasional milik Malaysia.

Kita sepatutnya berbangga dengan syarikat penerbangan milik Malaysia.

Saya lebih memikirkan maruah negara sebab apabila jika kita berhenti melakukan tugas sekarang di KLIA, klia2 atau Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas Pulau Pinang, mungkin yang akan mendapat tempias atau musibahnya adalah seluruh ekosistem penerbangan. Nama Malaysia akan mendapat malu.

Bersyukur, pada hari ini bulan Jun tahun 2023, kita sudah kembali kepada 32,000 sajian makanan sehari. Hasil jualan kita sudah kembali ke peringkat yang agak memberangsangkan pada tahap kira-kira RM11 juta ke RM12 juta sebulan. Perniagaan daripada Malaysia Airlines sudah boleh dikatakan 90 peratus kembali kepada keadaan seperti sebelum Covid-19.

Apa yang terbaru sedang berlaku dalam perbincangan mengenai kontrak perjanjian?

Sebelum ini kita mempunyai perjanjian katering, selepas itu perjanjian katering baharu dan sekarang kita menuju kepada perjanjian katering baharu 2:0.

Kita cuba untuk berkomunikasi dan cuba untuk berbincang dengan Malaysia Airlines supaya perjanjian katering baharu 2:0 bermula pada 1 Januari 2023.

Perbincangan ini bermula sejak Ogos 2022, tetapi kita tidak sampai kepada satu persetujuan yang memenangkan kedua belah pihak. Tiada kata putus.

Jadi mereka meminta Brahim's Food Services untuk melanjutkan proses rundingan yang mana apa yang kita ada dalam proses ini adalah hanya perjanjian singkat atau ad-hoc contract. Perjanjian singkat selama setahun, enam bulan, tiga bulan, yang semuanya singkat. Kita sudah cuba untuk meneruskan dari 1 Januari 2023 dan meminta untuk memberi kita tiga tahun tambah tiga tahun. Tetapi Malaysia Airlines tidak bersetuju mereka hanya bersetuju dengan tiga tahun tambah dua tahun. Tak mengapa kita menerimanya. Kita teruskan tetapi ada pertikaian atau pun juga tidak mencapai kata sepakat. Mereka meminta untuk melanjutkan cara lain.

Selepas berkomunikasi, berunding dan seterusnya tidak mendapat kata sepakat, perjanjian singkat berlaku iaitu melanjutkan sehingga 30 Mac 2023.

Sekali lagi pada Mac, Malaysia Airlines datang dan kita masih lagi tidak boleh mencapai kata sepakat. Kita tidak mampu untuk meneruskan lagi perniagaan dengan mereka pada harga yang sangat rendah. Jadi, apabila kita memberi lanjutan kedua iaitu 1 April 2023 hingga 30 Jun 2023, saya akui dengan jujur dan ikhlasnya Malaysia Airlines memberi kita meneruskan perjanjian itu dengan harga baharu, akhirnya.

Lanjutan:

1) 1 Januari 2023 hingga 30 Mac 2023 (lanjutan kontrak singkat kali pertama)

2) 1 April 2023 hingga 30 Jun 2023 (lanjutan kontrak singkat kali kedua)

Tetapi harga baharu itu sebenarnya tidaklah semewah atau segah yang kita sangkakan. Harga baharu itu hanya sekadar mengambil semula kejatuhan harga 40 peratus yang diturunkan pada 2015. Sekarang mereka setuju kita naikkan harga hanya sekitar 30 peratus. Jadi kita masih lagi sebenarnya memberi harga yang kurang berbanding sebelum 2015. Itu adalah fakta.

Ada 12 terma atau klausa penamatan perjanjian namun terma terakhir diminta syarikat Malaysia Airlines Berhad untuk mempunyai kelebihan atau privilage untuk kedua-dua syarikat Malaysia Airlines dan Brahim's iaitu convenience termination atau pembatalan perjanjian secara mudah. Semua klausa atau terma perjanjian dipersetujui kecuali yang terakhir. Contohnya pada hari ini jika terfikir nak menamatkan kontrak tanpa apa-apa sebab, esok Malaysia Airlines boleh serahkan 30 hari notis kepada Brahim's atau sebaliknya untuk membatalkan perjanjian dan ianya akan terbatal. Saya merasa tidak adil untuk mempunyai klausa atau terma penamatan kontrak mudah seperti itu. Walaupun dalam keadaan tidak bersetuju apabila diberitahu syarikat Malaysia Airlines bahawa terma ini adalah terma wajib yang mereka tidak dapat mansuhkan. Kena berbincanglah untuk saya meletakkan jumlah bayaran pampasan tertentu bagi memenuhi kontrak perjanjian kerana saya perlu melindungi syarikat dan kakitangan.

Jika benar perhubungan berakhir, apa perancangan?

Mengenai masa depan jika hubungan dengan Malaysia Airlines sudah tamat, kami akan terus memberi perkhidmatan kepada 35 syarikat penerbangan asing sedia dan mencari pelanggan syarikat penerbangan baharu.

Dalam industri penerbangan, ada 36 syarikat penerbangan termasuk Malaysia Airlines dan enam daripadanya adalah antara tersenarai dalam 10 terbaik di dunia yang menjadi pelanggan katering penyajian penerbangan dan perkhidmatan kami.

Enam daripada 10 syarikat penerbangan terbaik dunia yang dibekalkan makanan dan perkhidmatan oleh Brahim's ialah Qatar Airways (tempat teratas terbaik dunia), Emirates, ANA All Nippon Airways, Japan Airlines, Turkish Airlines dan Korean Air.

Adakah kita mampu meneruskan tanpa Malaysia Airlines? Bolehkah kita bertahan tanpa Malaysia Airlines? Saya akui kita akan bergelut dan berhempas-pulas. Tetapi kita akan mencari jalan untuk terus hidup. Kebimbangan saya ialah bagaimana mereka akan melakukannya sendiri. Saya tidak mengatakan bahawa mereka tidak mampu melakukannya sendiri. Melihat betapa besarnya operasi katering dalam penerbangan dan kepakaran yang diperlukan, kami ingin menghulurkan bantuan kerana menjalankan perkhidmatan katering dalam penerbangan tidak seperti menjalankan perkhidmatan katering restoran atau acara majlis perkahwinan.

Sumber: Harian Metro

Destination: