FB Page AFN Diego Garcia Kena 'Serang' Dengan Komen Bahasa Melayu Lepas Viral Wajah Mangsa MH370 Mirip Pekerjanya
TERKINIMisteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 kembali menjadi bualan hangat beberapa hari ini apabila tular beberapa keping gambar memaparkan wajah terkini dikatakan mangsa-mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan.
Menurut perkongsian itu, mangsa yang hilang sejak 8 Mac 2014 didakwa kini berada di sebuah pulau batu karang kecil di tengah-tengah Lautan Hindi yang dinamakan Diego Garcia.
Malah, gambar berkenaan dimuat naik menerusi Facebook bernama American Forces Network (AFN) Diego Garcia pada Ogos tahun ini.
Antara yang mendapat perhatian ialah seorang lelaki yang mempunyai wajah seakan-akan Kapten Zaharie Ahmad Shah; pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid; ketua pramugara pesawat, Andrew Nari dan beberapa kru kabin serta penumpang yang lain.
Melalui gambar yang dimuat naik, individu terbabit kebanyakannya didapati bekerja di kedai gunting rambut atau di kedai basikal.
Dalam kekecohan penemuan ‘teori’ baharu itu, Maira Elizabeth Nari, anak perempuan kepada Andrew tampil mengesahkan bahawa gambar yang tular terbabit bukanlah bapanya.
Maira Elizabeth mengakui dirinya dihujani mesej yang memaklumkan mengenai seorang lelaki yang dipercayai mirip bapanya dalam video tersebut.
Namun seperti biasa, rakyat Malaysia memang laju buat kerja.
Sewaktu menjengah ke laman Facebook AFN Diego Garcia, sudah banyak komen berbahasa Melayu yang muncul di ruangan komen tersebut.
Ramai yang menggesa agar mangsa MH370 dikembalikan dan ada yang turut mempersoalkan agenda tentera 'menyimpan' mangsa di sana.
Pada 18 Mac 2014, Diego Garcia pernah dilaporkan sebagai antara lokasi pendaratan dalam simulator milik Zaharie yang diambil oleh pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari rumahnya di Shah Alam, Selangor.
Bagaimanapun, persoalan mengenai kehilangan MH370 akhirnya terjawab pada 24 Mac 2014 apabila, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pesawat yang membawa 239 penumpang itu disahkan hilang di kawasan selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia.
Menurut Najib, kedudukan terakhir itu adalah berdasarkan maklumat daripada data satelit yang diberikan oleh syarikat Britain, Inmarsat dan Bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) yang mengesahkan pesawat Boeing 777-200 itu terbang ke jalur selatan isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu.
Untuk makluman, Diego Garcia merupakan pangkalan tentera bagi Amerika Syarikat (AS) di wilayah milik British yang disewa untuk menjalankan operasi bagi mengunjurkan kekuatan tenteranya ke Barat Laut, Timur Tengah, Asia Selatan, Timur ke Asia atau Barat ke Afrika.
Pulau terpencil itu turut menempatkan pangkalan sokongan untuk kapal laut dan kapal selam tentera AS serta kemudahan komunikasi dan jejak udara.
Sehubungan itu, penempatan rahsia itu hanya boleh dimasuki oleh tentera AS.
Justeru itu, timbul tanda tanya bagaimana penduduk di pulau tersebut mempunyai wajah persis penumpang-penumpang MH370.
Bagaimanapun, rakyat Malaysia seharusnya tidak terburu-buru membuat pelbagai andaian atau terlalu mempercayai sesuatu yang belum pasti.
Meskipun pelbagai teori dikeluarkan, ia hanyalah sekadar andaian yang belum dapat dipastikan kesahihannya.
Sebahagian masyarakat Malaysia terlalu percaya pada teori konspirasi dan cenderung menyebarkan hujah-hujah konspirasi yang dikeluarkan.
Fenomena itu sebenarnya tidak hanya terjadi dalam kes MH370, malah banyak lagi kejadian yang berlaku sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Elakkan menjadi manusia yang terlalu taasub dengan teori konspirasi, sebaliknya percaya pada maklumat yang benar-benar sahih dan terbukti faktanya.
Tahun ini memasuki tahun kelapan sejak pesawat tersebut hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Bukan hanya ahli keluarga, bahkan seluruh rakyat Malaysia turut berharap agar misteri tragedi MH370 yang sehingga kini masih membelenggu dunia dapat dirungkaikan.
Yang penting, jangan berhenti berdoa dan berharap agar setiap persoalan dalam misteri terbesar sejarah penerbangan berkenaan dapat segera bertemu jawapan.
VIDEO TIKTOK
@lynzamic #mh370 #serupa ♬ Takdir Memisahkan - Arjuna 89
Sumber: Sinar Harian