"Jumpa Bekas Arang & Pencucuh Api" - Ibu & Sepasang Anak Ditemui Tidak Bernyawa Di Kediaman Mereka Di Ampang
TERKINISeorang wanita dan dua anaknya ditemukan mati di dalam bilik rumah mereka di Kampung Baru Ampang, Ampang, Selangor, semalam (7 September).
Mayat tiga beranak itu ditemukan di dalam bilik tidur pertama dengan pintu dan tingkap bilik ditutup rapat menggunakan pita pelekat.
Kejadian itu hanya disedari bekas teman lelaki mangsa yang menyewa bilik di kediaman itu sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, turut ditemukan arang bersama penyala api diletakkan di bawah sofa bilik itu serta surat wasiat dan wang bercampur.
“Polis percaya ini adalah kes bunuh diri dan tempoh kematian melebihi 24 jam.
“Bagaimanapun siasatan diteruskan bagi mengenal pasti motif dan mengesan sebarang unsur jenayah sekiranya ada,” katanya dalam satu kenyataan.
Wanita yang bekerja sebagai jurujual berusia 42 tahun itu dan dua anaknya berusia 14 tahun serta 15 tahun dikatakan tinggal di apartment tersebut sejak 2018.
Sementara itu, jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, kali terakhir dia bertemu dengan wanita berkenaan dan anak lelaki serta perempuannya pada Isnin lalu.
“Saya tidak nampak apa-apa perubahan pada mereka cuma kali terakhir bertemu pada Isnin lalu.
“Kedua-dua anaknya itu sangat sopan dan baik dengan kami,” katanya.
Sumber: UTUSAN