[VIDEO] Timbalan Menteri KPDN Cuba Belanja Bawah RM200 Tak Realistik, Buat Rakyat Bengang! Tapi Empunya Diri Kata Ia Video Lama

TERKINI
September 21, 2023 - 12:29 PM


Ketika rakyat terhimpit dengan kenaikan harga barangan harian terutama beras -- timbul pula video yang sekali lagi menambah 'sakit hati' rakyat apabila Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Fuziah Salleh dilihat cuba menyanggah kenyataan itu dengan membuktikan beliau mampu membeli beberapa barang keperluan dengan harga hanya di bawah RM200.

Dalam satu rakaman tular di laman media, memaparkan beliau mengadakan tinjauan harga barang makanan dan bekalan mentah di sebuah pasar raya pada Selasa.

Antara barangan dibeli beliau ialah minyak masak, beras, biskut, mi segera, sardin dalam tin, tepung gandum, serbuk minuman, bawang dan kentang dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM136.30.

Jelasnya, perbelanjaan sebanyak RM200 mencukupi untuk menampung kos barangan dapur dengan segala keperluan hidup masih di paras kemampuan rakyat.

Dalam pada itu, video tersebut nyata menerima pelbagai kecaman dan spekulasi dalam kalangan masyarakat.

Rata-ratanya menganggap bahawa senarai barangan yang dibeli hanya mencukupi untuk individu berstatus bujang yang belum berkahwin.

"Itu untuk perut seorang boleh la, cuba kalau duduk sebumbung dengan orang yang anak ramai, kena tanggung adik beradik lain, masuk dalam kelompok macam itu baru cuba buat perbelanjaan bukan sekadar beli ikut keperluan diri sendiri," kata Eda Halim.

"Ini cara perbelanjaan orang bujang, orang berkeluarga mana cukup nak belum setakat sekampit beras dan seekor ayam, paling kuat bertahan seminggu je kalau yang ada anak empat orang, nak buat sesuatu tolong berfikir secara logik," ujar Syaidatul Zamri.

"Untuk yang berkeluarga dan ada bayi, lampin dan susu memang sangat penting selain bekalan mentah, jadi kalau dengan bajet RM200 rasa-rasa cukup ke untuk sebulan," jelas Mohd Syahmi.

"Tak realistik langsung kiraan dia buat, kita yang dah berkeluarga sahaja yang tahu betapa tingginya kos sara hidup dan perbelanjaan sekarang, RM200 tu dah macam perbelanjaan untuk seminggu barang dapur," tambah Amelia Ismail.

Berdasarkan komen ramai, ia nyata menunjukkan betapa masyarakat kurang berpuas hati dengan kenyataan dibuat Fuziah Salleh.

Di akhir rakaman tular tersebut, beliau menegaskan perbelanjaan sebanyak RM200 cukup untuk menampung kelengkapan barangan dapur.

"Siapa kata RM200 tak boleh? Tak cukup? Kena RM500? Jangan cakap perkara tak benar. Saya sendiri tengok dan saya sendiri nilai," katanya.

'Saya Percaya Ada Dalang Bermotifkan Politik, Sebenarnya Ia Video Lama' - Fuziah Salleh

Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, Fuziah Salleh mengulas bahawa dirinya sedia maklum dengan penularan video yang didakwa dibuat pada bulan Julai lalu dan tidak terkejut kerana percaya ada dalang di sebaliknya yang mungkin bermotifkan politik.

Menjelaskan perkara sebenar, Fuziah berkata, apa yang tular itu adalah rakaman video ketika beliau berkunjung ke sebuah pasar raya di Langkawi, Kedah pada awal Julai lalu.

"Sebenarnya ia video lama. Ketika itu ada isu yang (yang mengatakan perbelanjaan) RM200 (untuk barangan keperluan asas) tak dapat apa-apa. Jadi pada waktu itu, saya buat tinjauan di sebuah pasar raya dan beli sendiri barangan di situ.

"Harganya lebih sedikit berbanding tempat lain yang menjual barangan Jualan Rahmah, namun masih cukup dan boleh penuh bakul dengan wang di bawah RM200. Kenyataan saya dalam video bagaimanapun merujuk kepada situasi ketika itu," katanya ketika dihubungi.

Fuziah berharap, penjelasannya ini dapat memperbetulkan pemahaman segelintir netizen yang mungkin keliru dengan mesej cuba disampaikannya.

"Diharap yang silap faham boleh diperbetulkan, tapi yang ada agenda tersendiri (menyebarkan rakaman video itu) berhati-hatilah," katanya.

 "Saya maklum dan tak terkejut kerana saya percaya ada dalang di sebaliknya (isu video tular) yang mungkin bermotifkan politik."

Sumber: Majoriti & Harian Metro

Destination: