MYAirline Mohon Maaf, Sedia Laksana Proses Pemulangan Wang Tiket!
TERKINISyarikat penerbangan MYAirline memohon maaf atas tindakan mereka mengeluarkan notis penggantungan operasi secara mengejut, sehingga menyebabkan sebilangan besar penumpang tidak mendapat maklumat dalam tempoh masa mencukupi.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, ia berkata, susulan masalah kewangan yang mendalam, MYAirline tidak mampu menawarkan sebarang pilihan pemulihan segera kepada penumpang yang terkandas di lapangan terbang.
Namun, MYAirline memohon penumpang yang terkesan untuk menghubung wakilnya di [email protected] dari 7 pagi hingga 12 tengah malam, bagi melaksanakan proses pemulangan wang.
“Kami mengambil maklum kemarahan dan kekecewaan yang dihadapi oleh para penumpang dan pihak yang terlibat. MYAirline dengan jelas mengakui tanggungjawabnya untuk kegagalan ini, yang disebabkan oleh notis mengejut kami.
“Lembaga Pengarah dan seluruh pasukan MYAirline dengan rendah hati memohon maaf kepada semua penumpang, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Lapangan Terbang Thailand, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) dan semua pihak yang terjejas,” katanya lagi.
Dalam kenyataan tersebut, MYAirline turut menzahirkan penghargaan kepada AirAsia, Batik Air dan Malaysia Airlines, termasuk MAHB kerana menghulurkan bantuan kepada penumpang yang terjejas.
Pada masa kini, ia berkata, MYAirline sedang meneroka kesemua jalan terbaik untuk mengaktifkan semula operasinya.
“Kami memohon kesabaran daripada kesemua pemegang taruh, sementara kami menilai pilihan yang ada. MYAirline akan terus mengeluarkan kemas kini jika ada,” katanya lagi.