Arab Saudi Sah Anjur Piala Dunia 2034

SUKAN
November 02, 2023 - 01:38 PM


Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah me­ngesahkan hanya Arab Saudi yang menunjukkan minat dan melakukan bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.

Arab Saudi yang sudah me­labur berbilion dolar dalam bola sepak beberapa tahun kebelakangan ini dilihat bersedia untuk menganjurkan Piala Dunia selepas Sepanyol, Portugal, Maghribi dan negara-negara Amerika Selatan berkongsi penganjuran edisi 2030.

FIFA sebelum ini menjemput bidaan daripada negara-negara dari benua Asia dan Oceania. Selain daripada Arab Saudi, Australia juga menunjukan minat tetapi kemudian membuat keputusan untuk menarik diri daripada menjadi tuan rumah pentas berprestij dunia tersebut.

“Kami membatalkan hasrat membida hak penganjuran tuan rumah Piala Dunia 2034 selepas mengambil kira semua faktor dan mencapai kesimpulan untuk tidak berbuat demikian,” kata Persatuan Bola Sepak Australia dalam satu kenyataan.

Ia menyaksikan Arab Saudi secara tidak rasminya bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034. Baru-baru ini menerusi instagram peribadi, Presiden FIFA, Gianni Infantino, rasmi mengumumkan bahwa Arab Saudi akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.

 

Sebelum ini, Arab Saudi berminat membida Piala Dunia 2030 bersama Mesir dan Greece, namun cadangan itu terpaksa dilupakan selepas FIFA memberikan keutamaan kepada idea penganjuran membabitkan tiga benua yang bakal memasuki tahun ke-100 saingan.

Difahamkan, Arab Saudi melakukan bidaan setahun selepas Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia pertama di Timur Tengah pada penghujung tahun lepas.

 

Kredit: Kosmo

Destination: