"Janna Tak Tendang, Hanya Letak Kaki" - Sheila Mambo Pertahan Janna Nick

HIBURAN
November 23, 2023 - 11:33 AM


Beberapa hari yang lalu, tular satu video di laman X yang menunjukkan satu babak lakonan drama Surat Dari Tuhan antara pelakon Janna Nick dan pelakon veteren, Sheila Mambo.

Sheila Mambo memaklumkan aksi Janna Nick yang menendangnya menerusi sebuah babak drama Surat Dari Tuhan hanyalah lakonan dan tidak membawa kecederaan.

Sheila juga berkata video yang tular itu merupakan salah satu babak belakang tabir yang tidak ditayangkan dalam drama tersebut.

“Sebenarnya apa yang ditunjukkan hanya lakonan. Janna tidaklah menendang saya. Dia hanya meletakkan kaki di badan saya. Cuma sebagai pelakon, saya yang akan memainkan peranan melambungkan sedikit badan untuk menampakkan tendangan itu menjadi.

“Bukan hanya babak tendangan, ada banyak aksi lain seperti Janna perlu menampar, menolak dari tangga dan memijak tangan saya.

“Namun semua itu hanyalah lakonan. Dia hanya cuit sahaja, saya yang akan mengerang kesakitan atau menyembamkan diri. Tambahan pula klip tersebut hanyalah sebalik tabir drama dan babak itu tidak ditayangkan di televisyen,” katanya.

Video yang tular di media sosial itu mendapat kecaman dari netizen. Malahan, Janna disifatkan biadap kerana mengasari seorang pelakon senior.

Bagaimanapun, Sheila mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu beremosi sehingga gagar membezakan antara lakonan dengan personaliti sebenar seseorang artis.

“Masyarakat janganlah terlalu terikut emosi sehingga tidak dapat membezakan lakonan serta sifat peribadi Janna. Ramai yang mengkritik Janna, tapi sebenarnya selepas pengarah beri isyarat ‘cut’, Janna datang peluk saya dan mohon maaf.

“Dia seorang pelakon yang sangat profesional dan baik. Jarang saya jumpa pelakon muda yang akan minta maaf setiap kali habis penggambaran. Selalunya lepas habis scene, pelakon akan buat hal masing-masing dan pulang. Tapi Janna berbeza,” dedahnya.

 

Sumber: Utusan Malaysia

Destination: