Pelancong Malaysia Dah Boleh Guna Maybank QRPay Di China

TRAVEL
November 23, 2023 - 04:10 PM


Apabila melancong ke luar negara, antara perkara yang perlu diambil perhatian adalah dari segi kewangan lebih-lebih lagi melibatkan pertukaran mata wang asing dan jenis pembayaran yang disediakan.

Ini kerana sesetengah premis hanya membenarkan pembayaran melalui wang tunai atau ada juga yang secara ‘cashless’ sahaja.

Tetapi untuk korang yang nak melancong ke China, ada satu berita gembira!

Maybank Luaskan Perkhidmatan Pembayaran Melalui QRPay Di China Pula

Dalam kenyataan terbaharu dari Maybank, perkhidmatan tanpa tunai atau ‘cashless’ menggunakan QRPay kini boleh digunakan juga ketika anda melancong ke negara China.

Inisiatif ini dilakukan untuk memanfaatkan lebih lapan juta pengguna aplikasi Maybank MAE yang berkunjung ke China.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Datuk John Chong menjelaskan penambahan China sebagai salah satu negara yang membolehkan penggunaan perkhidmatan Maybank QRPay membuktikan komitmen bank ini dalam memupuk hubungan kewangan antarabangsa.

"Ini adalah peristiwa penting dalam misi kami untuk memberi penyelesaian pembayaran yang tidak dapat ditandingi dengan lancar dan selamat serta teruja membawa perkembangan baharu ini kepada semua pelanggan", jelas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong.

Sebelum ini, negara-negara lain seperti Thailand, Indonesia dan Singapura juga telah diperkenalkan dengan servis Maybank QRPay.

Macam Mana Pembayaran Dilakukan?

Ketika berada di China, pelancong Malaysia boleh membuat pembayaran tanpa tunai dengan peniaga Alipay dengan mengimbas kod QR menggunakan aplikasi MAE.

Kemudian, masukkan jumlah pembayaran yang ingin ditukar kepada mata wang tempatan China iaitu renminbi (RMB).

Selain itu peniaga di Malaysia juga boleh menerima pembayaran daripada pelancong China dengan meminta mereka untuk mengimbas DuitNow QR melalui salah satu platform pembayaran di China, Alipay.

Inisiatif strategik antara Maybank dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) ini telah memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan juga China.

Sumber: The Rakyat Post

Destination: