"Awak Masih Boleh Guna Akaun Netflix Saya" - Jovian Mandagie & Nina Ismail Sabri Umum Sudah Bercerai

HIBURAN
December 06, 2023 - 10:48 AM


Kebelakangan ini, banyak isu rumah tangga seperti kecurangan dan penceraian tular di media sosial sama ada ia membabitkan orang awam atau golongan popular. 

Terkini, pereka fesyen terkemuka, Datuk Jovian Mandagie mengesahkan bahawa dia sudah bercerai dengan isterinya, Datin Nina Ismail Sabri.

Menerusi sebuah hantaran di Instagram, Jovian berkata mereka sebulat suara membuat keputusan untuk bercerai pada Ogos lalu selepas 10 tahun hidup bersama.

Kata Jovian, dia dan Nina akan kenal sebagai sahabat selain menjadi ‘co-parenting’ demi kebahagiaan puteri tunggal mereka, Jeanelle Nika Mandagie yang kini berusia 6 tahun.

"Sesetengah perkahwinan adalah istimewa dan dibuat untuk kekal seumur hidup, tetapi perkahwinan kami istimewa kerana ia telah berkembang menjadi persahabatan yang akan kekal seumur hidup.

"Pada bulan Ogos, kami memutuskan untuk menamatkan perkahwinan 10 tahun atas sebab kami percaya ini adalah yang terbaik. Kami dapati sebagai rakan dan ibu bapa bersama Jeanelle, kami berkongsi jenis cinta yang berbeza yang kami hargai.

"Memastikan kebahagiaan Jeanelle kekal adalah keutamaan kami, dan setakat ini, kami telah melakukan yang terbaik, Alhamdulillah.

"Kasih sayang kami terhadap ibu bapa dan keluarga juga tidak berubah. Kami yakin dengan perancangan Allah, kerana Dia adalah perancang yang paling hebat.

"Sepanjang dekad yang lalu, ramai yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kami. Kami akan sentiasa menyimpan tahun-tahun itu dekat dengan hati kami," jelasnya.

Dalam pada itu, Jovian turut mengucapkan terima kasih atas doa dan sokongan orang ramai yang tidak pernah putus.

Walaupun sudah bercerai, Jovian dan Nina dilihat masih mengekalkan hubungan baik apabila Nina meninggalkan komen lucu di hantaran tersebut.

"Jangan risau, awak masih boleh guna akaun Netflix saya. Jumpa jumaat nanti!" katanya.

Untuk rekod, Jovian dan Nina berkahwin pada 14 Disember 2013 di Muzim Diraja, Istana Negara Lama. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan pada 1 November 2017.

 

Kredit: Oh Bulan

Destination: