King Charles III Hidap Kanser Selepas Lakukan Pembedahan, Umum Tangguh Tugasan Awam

TERKINI
February 06, 2024 - 02:20 PM


King Charles III disahkan menghidap kanser dan telah memulakan rawatan. Hal itu disahkan oleh Istana Buckingham semalam yang menyatakan baginda menghidap kanser seminggu selepas baginda keluar dari hospital susulan pembedahan prostat.  

Istana dalam kenyataan berkata, 'kebimbangan lain dikenal pasti' ketika prosedur prostat benign dijalankan di hospital, baru-baru ini, namun tidak memperincikan jenis kanser dan tahap kritikalnya.

Charles, yang menjadi raja selepas kematian ibunya yang berusia 96 tahun, Ratu Elizabeth II, pada 8 September 2022, secara amnya menikmati kesihatan yang baik, tetapi mengalami kecederaan akibat polo dan bermain ski.

"Beliau dinasihatkan oleh doktor untuk menangguhkan tugas awam walaupun akan terus menjalankan urusan kerajaan dan kertas kerja rasmi seperti biasa," tambah istana.

Menurut kenyataan itu baginda kekal positif dan mahu kembali menjalankan tanggungjawabnya secepat mungkin, selain akan terus melaksanakan urusan rasmi seperti biasa, walaupun dinasihatkan doktor supaya menangguhkan hasratnya itu.

Pengumuman mengejutkan itu mencetuskan mesej sokongan, dengan anak lelaki Charles yang terasing, Putera Harry berkata, beliau sudah bercakap dengan bapanya dan akan melawatnya tidak lama lagi.

Harry, anak bongsu daripada dua anak lelaki Charles dengan mendiang Puteri Diana, yang kini tinggal di California bersama isterinya Meghan, berkata, beliau akan pergi menemui raja di UK dalam beberapa hari akan datang, kata sumber yang rapat dengan Harry.

Charles mendapat pujian bulan lalu kerana bersikap terbuka tentang keadaan prostatnya, dengan doktor mengatakan lebih ramai orang awam tampil dengan gejala serupa.

Beliau dibenarkan keluar dari hospital London selepas tiga malam menginap untuk pembedahan, seminggu yang lalu.

Istana menambah bahawa raja memilih untuk berkongsi diagnosis kansernya untuk mengelakkan spekulasi dan dengan harapan ia dapat membantu pemahaman orang ramai untuk semua orang di seluruh dunia yang terjejas oleh kanser.

 

Sumber: Harian Metro

Destination: