Doktor Malaysia Buka Gerai Di Liverpool, Kuih-Muih Berjaya Tarik Perhatian 'Mat Saleh'
FOODIESebagai rakyat Malaysia, antara perkara yang dibanggakan tentang negara sendiri adalah makanan yang pelbagai. Hal ini juga diakui oleh para pelancong yang datang ke sini dengan mengatakan bahawa Malaysia adalah ‘syurga makanan’ kerana mempunyai pelbagai jenis juadah yang boleh dinikmati.
Baru-baru ini seorang warga Malaysia yang menetap di Liverpool telah berkongsi perniagaan kuih-muih yang dijalankan oleh seorang doktor yang juga warga Malaysia.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok oleh @marhaidi.hanafi, lelaki tersebut menunjukkan Dr Syikin sedang berniaga di sebuah pasar pagi di Granby Street Market, Liverpool yang hanya dibuka pada hari Sabtu pertama setiap bulan.
Dalam video tersebut, dapat dilihat Dr Syikin sedang menjual pelbagai jenis kuih tempatan popular di Malaysia seperti cekodok, karipap, kuih bakara, bengkang ubi, bengkang pandan, kek pelangi, nasi lemak dan banyak lagi.
Kesemunya dijual dengan harga RM6 (£1) bagi setiap satu dan difahamkan, cekodok adalah menu yang paling laris.
Menjengah ke ruangan komen video, keadaan persekitaran yang bersih dan tidak berlalat telah menarik perhatian sesetengah netizen.
“Yang bagusnya negara luar jual terdedah tak ada lalat. Kalau kat Malaysia habis,” kata netizen.
Dr Syikin turut menjawab pertanyaan itu dengan berkata mungkin faktor cuaca di Liverpool membuatkan ketiadaan lalat di kawasan persekitaran.
Bukan itu sahaja, netizen juga ada memberi cadangan kepada Dr Syikin untuk bertukar-tukar jualan kuih pada setiap bulan supaya penduduk tempatan di situ terdedah dengan makanan Malaysia.
Ada juga yang mencadangkan doktor tersebut menjual kuih lapis, kuih cara, seri muka, cucur udang, kuih ketayap dan roti jala pada masa akan datang.
Menurut @marhaidi.hanafi pula, mereka akan cuba menjual air balang kepada para pelanggan pada musim panas akan datang.
@marhaidi.hanafi Granby Street Market Liverpool dibuka pada hari Sabtu pertama setiap bulan. Kepada yang ke Liverpool jemput singgah, Lokasi berdekatan dengan Rumah Komuniti Malaysia, Liverpool, #melayudiuk #hidupdiperantauan #malaysiantravellers #kisahplanetliverpool ♬ Aduh Malaysia - Altimet
Sumber: TikTok