Malaysia Airlines Disenarai Antara Calon Penaja Utama Chelsea FC

SUKAN
March 15, 2024 - 11:26 AM


Malaysia Airlines (MAS) iaitu syarikat penerbangan negara telah disenaraikan sebagai bakal penaja utama salah satu kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Chelsea FC.

Berita itu didedahkan pakar pemasaran sukan dari Poland, Łukasz Bączek menerusi laman sosial X yang membariskan nama Malaysia Airlines bersama Bank of America dan Riyadh Air sebagai calon penaja buat skuad The Blues. 

“Kelab dalam perbincangan dengan Riyadh Air tetapi rundingan itu mungkin sukar kerana kekurangan aksi UCL. Sebagai tambahan, mereka juga sedang berbincang dengan Bank of America dan Malaysia Airlines. 

“Kumpulan syarikat lain yang sedang berbincang dengan Chelsea juga termasuk sebuah syarikat Asia daripada industri kewangan dan insurans,” tulis Baczek.  

Walau bagaimanapun, Riyadh Air tetap berada dalam senarai teratas selaku penaja utama kerana syarikat dari Arab Saudi itu masih berminat untuk menaja Chelsea bermula musim baharu.

Ini kerana, syarikat penerbangan Saudi itu sedar bahawa ini adalah satu-satunya peluang untuk memasuki Top 6 kelab EPL dalam tempoh 3 tahun akan datang. 

Sebelum ini, perjanjian kelab bersama Oman Air selaku syarikat penerbangan rasmi Chelsea dan kerjasama global telahpun ditamatkan pada bulan lalu.  

Difahamkan, MAS disenaraikan dalam calon penaja utama adalah disebabkan pernah menjalinkan hubungan secara global bersama Liverpool antara tahun 2016 dan 2019.

Untuk makluman, ini bukan kali pertama MAS terlibat dalam penajaan atau endorsemen kelab EPL. Pada tahun 2011, Queens Park Rangers pernah meterai perjanjian tajaan bernilai jutaan dollar dengan MAS dan AirAsia.

Jika Malaysia Airlines dipilih sebagai penaja, logo syarikat itu akan dipaparkan pada bahagian depan jersi rasmi Chelsea FC dan juga bahagian iklan dalam setiap perlawanan yang ditonton oleh peminat dari seluruh dunia. 

 

Sumber: X & The Vocket

Destination: