LTDL 2024: Sah Bermula Di Langkawi Tamat Di Sarawak, Sejauh 1,191.1KM

SUKAN
March 18, 2024 - 01:03 PM


Salah satu perlumbaan basikal berprestij di Asia iaitu, PETRONAS Le Tour De Langkawi 2024 (LTDL 2024) disahkan bakal bermula September depan dan ia bakal menjadi saingan paling diingati dalam sejarah penganjurannya.

Ini kerana, perlumbaan berkenaan akan kembali ke bumi Langkawi, di mana destinasi ikonik berkenaan akan menjadi lokasi pembukaan perlumbaan peringkat pertama. 

Edisi ke-28 ini juga akan menampilkan Sarawak sebagai perlumbaan penutup, untuk peringkat ketujuh dan kelapan. Perkara itu diumumkan dalam Majlis Pelancaran LTdL 2024, yang disiarkan secara langsung di Astro Arena sebentar tadi. 

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan, LTDL 2024 dijadualkan bermula pada 29 September sehingga 6 Oktober 2024.

Laluan perlumbaan pula melibatkan 11 negeri yang menjadi tuan rumah garisan permulaan dan penamat, dengan tiga bandar yang bakal menjadi hos buat kali pertama. Antaranya, dua bandar di Sarawak iaitu di Miri dan Bintulu serta bandar Kulai di Johor.

Sementara itu, Majlis Sukan Negara (MSN) telah dipilih sebagai penganjur selepas kejayaan cemerlang bagi penganjuran perlumbaan untuk edisi terdahulu. 

Dalam sidang media, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, turut mengumumkan keputusan mengekalkan tema perlumbaan ‘Beat The Heat’.

Difahamkan, tiga pasukan berbasikal dari Malaysia dijangka bakal mengambil bahagian dalam perlumbaan edisi kali ini. Antaranya, Pasukan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan Malaysia Professional Cycling (MPC).

 

Sumber: Stadium Astro & Siakap Keli

Destination: