Pemilik Restoran Di Langkawi Terkejut Pelanggan Datang Naik Helikopter Semata-Mata Untuk 'Lunch'

TERKINI
April 30, 2024 - 12:43 PM


Kehadiran seorang pelanggan yang ditemani sekumpulan rakan ke sebuah restoran di Langkawi untuk makan tengah hari mendapat perhatian ramai ekoran tiba dengan helikopter. 

Kejadian tersebut dirakamkan dan dimuat naik oleh restoran Dangau Langkawi di TikTok yang mempamerkan ketibaan sebuah helikopter Airbus AS365N. 

Video terbabit turut dikongsikan oleh pemilik restoran berkenaan yang dikenali sebagai Zaidi Hassan di Facebook yang menyatakan pada awalnya dia terkejut selepas menerima panggilan memaklumkan terdapat pelanggan yang ingin berkunjung ke kedai makannya, Dangau untuk makan tengah hari menaiki helikopter.

“Mulanya, saya ingat ada rakan yang mahu bergurau, dia (pelanggan) bagi tahu nak makan tengah hari menu set talam yang popular di restoran saya dengan beberapa individu lain menaiki helikopter.

“Saya tanya balik serius ke tempahan ni? Pelanggan tu jawab tunggu 15 minit lagi saya sampai dan turut bertanya sama ada, ada tempat lapang untuk mendarat berhampiran restoran,” jelasnya. 

Selepas 20 minit dia kemudian terdengar bunyi helikopter terbang pada ketinggian rendah dan semakin kuat berdekatan kedai makannya.

“Helikopter yang saya tidak pasti jenisnya itu mendarat di kawasan tanah lapang yang baru ditambak tanah merah kira-kira 20 meter dari restoran saya pada 2 petang.

“Terdapat enam individu yang tiba menaiki helikopter, manakala 10 hingga 15 individu yang lain tiba dengan kereta hampir serentak.” katanyanya.

Jelasnya, pelanggan yang datang itu makan di kedainya dengan memesan set talam yang dilengkapi dengan pelbagai juadah seperti kari ikan, udang sambal petai, ikan bakar, ulam-ulaman, air termasuk sambal belacan.

Pelanggan berkenaan menikmati makanan di kedai berkenaan sekitar satu jam sebelum pulang semula menaiki helikopter bersama yang lain. 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari memberitahu pihaknya dimaklumkan pendaratan dilakukan kenderaan tersebut dalam pengetahuan serta kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). 

 

Sumber: TikTok & Facebook

Destination: