"Sepatutnya RM2,102 Bukan RM1,500" - Cadangan UNICEF Untuk Gaji Minimum Sebulan

TERKINI
May 09, 2024 - 03:01 PM


Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa gaji minimum yang ditetapkan di Malaysia pada masa kini adalah sebanyak RM1,500. Namun, harus diakui jumlah tersebut tidak mencukupi bagi menampung kos sara hidup yang tinggi. 

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), pertubuhan itu menyatakan bahawa gaji sebanyak RM1,500 tidak cukup dan perlu diubah oleh pihak kerajaan.

Menerusi laporan ‘The Living on The Edge Key Findings’, pertubuhan itu mencadangkan agar kerajaan Malaysia menyemak semula gaji minimum sedia ada dan menetapkan pada kadar RM2,102 sebulan. 

“Setelah mengambil kira beberapa faktor utama seperti kos sara hidup, pendapatan penengah, pendapatan garis kemiskinan dan produktiviti, gaji minimum yang sebenar adalah RM2,102 sebulan dan bukannya RM1,500 seperti sekarang. Gaji minimum perlu disemak semula.

“Tahap gaji minimum baharu yang dicadangkan ini adalah sedikit lebih rendah berbanding tahap gaji wajar yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu sebanyak RM2,700 sebulan,” jelas laporan berkenaan. 

Unicef dalam penemuan kajiannya turut mendapati cadangan dasar yang boleh dipertimbangkan kerajaan turut membabitkan elaun penjagaan kanak-kanak sejagat sebanyak RM200 sebulan untuk semua ibu mengandung sehingga kanak-kanak berusia dua tahun. 

Secara keseluruhan, laporan The Living on the Edge Key Findings menunjukkan kenaikan kos sara hidup telah menambah tekanan kepada keluarga bandar yang berpendapatan rendah pasca pandemik. 

Laporan itu memberi tumpuan kepada tinjauan pasca pandemik yang dijalankan dari 14 Oktober 2023 hingga 16 November 2023, membabitkan pengumpulan data daripada sejumlah 755 isi rumah berpendapatan rendah yang tinggal di 16 perumahan awam kos rendah di Kuala Lumpur. 

 

Sumber: Harian Metro

Destination: