"Pendapat Ayah Tidak Mencerminkan Pendirian Saya" - Leona

HIBURAN
May 17, 2024 - 03:05 PM


Semalam, pelakon lelaki tanah air, Azhar Sulaiman teruk dikritik ramai berhubung pendiriannya tentang isu Palestin di akaun Instagram miliknya.

Menerusi sebuah hantaran, Azhar berpendapat artis yang lantang bersuara berhubung isu itu sepatutnya berpindah ke Gaza bagi membantu rakyat Palestin.

“Kepada artis-artis Malaysia yang lantang sangat sokong Hamas buat serangan pada 7 Oktober, silalah pindah ke Gaza sekarang dan bantu orang disana,” tulisnya.

Namun, hantaran itu menyebabkan pelakon berusia 52 tahun itu dikecam menyebabkannya bertindak memadam posting tersebut.

Hantaran yang dilakukan Azhar telah menarik perhatian anaknya, Kasih Iris Leona yang mempunyai pandangan yang berbeza berhubung isu di Gaza. 

Berbeza dengan ayahnya, Leona menegaskan pendapat bapanya itu sama sekali tidak mencerminkan pendiriannya. Malah, dia mengutuk sekerasnya kekejaman rejim zionis itu terhadap rakyat Palestin. 

“Pendapat ayah saya tidak mencerminkan pendirian saya sama sekali dan saya sangat menentang Israel dan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Palestin. 

“Saya sedar kekejaman yang dilakukan oleh Israel dan mengakui pembunuhan beramai-ramai ini telah dilakukan sebelum 7 Oktober,” ciapnya.  

Leona juga meminta orang ramai agar tidak menganggap dan menyamakan dia dengan bapanya itu walaupun mereka mempunyai pertalian darah. 

 

Sumber: X  

Destination: