"Order Lain, Dapat Lain" - Gara-Gara Rider Salah Hantar, Anak-Anak Termakan Daging Babi
TERKINISeorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Izham Nayan telah mendedahkan bahawa anak-anak kawannya telah termakan makanan yang mengandungi daging babi disebabkan oleh kesilapan penghantar makanan.
Menurut Izham, kawannya itu telah menempah mee tarik untuk anak-anak di rumah yang ketika itu dalam keadaan lapar memandangkan si isteri sedang sibuk mengendalikan kelas dalam talian.
Berdasarkan hantaran di Facebook, pesanan yang dipesan oleh si ayah adalah Sup Mee Tarik Daging dan Ladu Goreng dari restoran Mee Tarik Warisan melalui aplikasi Foodpanda.
Namun, pesanan yang tiba di rumah mereka bukanlah makanan dari restoran Mee Tarik Warisan, sebaliknya makanan dari restoran lain yang mengandungi daging babi.
Anak-anak yang menerima pesanan tersebut terus memakannya tanpa menyedari bahawa makanan tersebut tidak halal.
“Food Panda salah hantar makanan babi ke rumah kawan saya, anak-anak dia dah termakan. Asal order mee tarik warisan, ibu tengah handle online class..anak-anak kecil pula tengah lapar.
“Ayah orderkan untuk anak kat rumah, anak terima dan makan je. Resit biasa tampal kat luar tapi yang ini resit kat belah bawah sekali dalam plastik, keluarkan semua baru jumpa resitnya,” ujar Izham.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa keluarga tersebut dan meminta orang ramai untuk lebih berhati-hati apabila menerima pesanan makanan.
Malahan, ada netizen mempersoalkan mengapa pesanan makanan yang halal dan tidak halal boleh bercampur sehingga menyebabkan situasi seperti ini berlaku.
Sumber: Facebook