Tidak Dihalang Berdakwah, Ustaz Don Kembali Bersiaran Dalam Program ‘Salam Baitullah’

HIBURAN
June 12, 2024 - 11:11 PM


Pendakwah selebriti terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Bijayid atau mesra disapa Ustaz Don telah kembali mengendalikan program Salam Baitullah di Radio Televisyen Malaysia (RTM).  

Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman mengesahkan Ustaz Don yang sebelum ini direhatkan susulan pertikaian terhadap perkongsian mengenai kisah Nabi Muhammad SAW, kembali mengemudi Salam Baitullah yang disiarkan jam 9 malam kelmarin.

Suhaimi berkata, Ustaz Don kembali mengambil tugas pengacara bersama Mohd Fakhrul Radhi Khamaruddin yang juga anggota kumpulan nasyid popular, UNIC.

Menurutnya, keputusan itu diambil selepas pertemuan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Ustaz Don bagi membincangkan mengenai kontroversi tercetus. 

Pertemuan antara Ustaz Don bersama pihak JAKIM dimaklumkan sudahpun berlaku pada hari Isnin lalu dan hasil perjumpaan tersebut, pendakwah tersebut tidak dihalang untuk berdakwah.

Pengurus kepada Ustaz Don yang dikenali sebagai Ana memaklumkan ia berlangsung dengan baik dan bersyukur kerana tidak dihalang untuk teruskan dakwah. 

"Perjumpaan Ustaz Don dengan Jakim berlangsung sangat baik. Malah, tiada halangan untuk Ustaz Don teruskan berdakwah walaupun di dalam program TV," katanya.

Sebelum ini, Suhaimi mengesahkan Ustaz Don direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah yang disiarkan secara langsung di TV1 sejak 2 Jun lalu. 

 

Sumber: Berita Harian

Destination: