4 'Pengawal Keselamatan' Bertopeng Rompak Kedai Emas Di Kajang

TERKINI
June 18, 2024 - 10:41 AM


Semalam, tular beberapa video di X memaparkan tindakan empat lelaki berpakaian seperti pengawal keselamatan sedang merompak sebuah kedai emas di Plaza Metro Kajang, Selangor.

Menerusi video yang tular, kelihatan tiga individu telah bertindak masuk ke premis berkenaan dan memecahkan cermin kaca yang mempamerkan barangan kemas. Seorang lagi suspek berada di luar premis untuk melihat keadaan sekeliling. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Mohamad Nasir Drahman berkata kejadian dipercayai berlaku jam 3.17 petang.

"Kesemua suspek memakai topeng dan bersarung tangan gelap masuk ke premis di tingkat satu dan terus memecahkan cermin pameran emas menggunakan tukul besi dan mengambil barang kemas.

"Semasa kejadian suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan selaras senapang serta melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis," katanya 

Menurutnya lagi, kesemua suspek kemudiannya melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah pusat beli-belah berkenaan. 

Katanya, jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang meneliti pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta merakam keterangan saksi bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati walaupun tidak membabitkan kecederaan atau kematian.

"Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan mana-mana balai berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan Mohd Afiq Farhan Mohd Nor di talian 012-2446768," katanya. 

 

Sumber: Harian Metro

Destination: