Lelaki Tikam Isteri Kerana Tuntut Cerai Direman 7 Hari

TERKINI
June 21, 2024 - 10:49 AM


Suspek lelaki yang disyaki membunuh isterinya di sebuah hotel di Batu Gajah, direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 27 Jun.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin dalam prosiding di Mahkamah Majistret Batu Gajah hari ini. 

Permohonan reman itu dikemukakan pihak polis kepada mahkamah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap suspek berusia 36 tahun itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang memakai baju Melayu dan seluar lokap berwarna jingga tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 8.33 pagi sebelum dibawa keluar 14 minit kemudian. 

Semalam, media melaporkan seorang wanita berusia 32 tahun ditemukan mati dengan kesan tikaman di badan dalam sebuah bilik hotel di sini.

Kejadian malang itu terbongkar selepas seorang lelaki yang juga suami mangsa tampil menyerah diri kepada polis sekitar pukul 2 petang. 

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad dilaporkan berkata, suspek disyaki membunuh mangsa yang berusia 32 tahun kerana tidak puas hati apabila wanita itu meneruskan tuntutan fasakh walau pun telah dipujuk.

Berdasarkan semakan, pasangan suami isteri itu datang ke hotel berasingan dan menginap di hotel itu sejak kelmarin. 

 

Sumber: Berita Harian

Destination: