Rumah Biru 'Sign Off', Tiada Lagi Rumah Ikonik Berlatarkan KLCC Selepas Ini

TERKINI
June 27, 2024 - 11:09 AM


Jika anda pernah menonton beberapa filem Melayu diantara tahun 2008 sehingga 2012, pasti tidak asing dengan kelibat sebuah rumah berwarna biru yang berlatar belakangkan bangunan KLCC.

Bukan sahaja sering menjadi lokasi penggambaran beberapa buah filem dan rancangan televisyen, rumah yang dipanggil sebagai 'Rumah Biru' itu juga terkenal kerana masih mengekalkan seni bina tradisional Melayu di Kampung Baru. 

Terbaru, rumah tersebut dipercayai bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada sebuah projek. 

Menurut salah seorang pemiliknya, Shafiq Abdullah di Facebook, ia bagi memberi laluan untuk pelaksanaan projek pembongkaran semula palong yang di tanam di bawah tanah rumah berkenaan. 

Shafiq berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur akan mengambil masa kira-kira empat tahun bagi menyiapkan projek tersebut.

“Kampungku Kampung Baru, Kuala Lumpur di Jalan Salleh. Kini telah berakhir menetap di sini dari tahun 1984 hingga 31 Mei 2024. 

“Maka dengan ini, secara rasmi kami semua telah keluar dari Rumah Biru untuk tempoh tiga atau empat tahun, dengan harapan selepas ini, kami pulang semula ke tanah kami ini,” katanya. 

Dalam masa sama, Shafiq turut mengucapkan terima kasih kepada semua peminat rumah itu yang sering menjadi perhatian sebagai lokasi untuk bergambar.

“Jutaan terima kasih kepada semua pegunjung yang hadir secara rasmi mahu pun tidak ke rumah kami untuk bergambar. 

“Mohon maaf salah silap kami sepanjang tempoh tersebut,” ujarnya. 

 

Sumber: Facebook

Destination: