Korang Tahu Tak Rupanya Tak Boleh Berbasikal Di Pintasan Saloma, Ya!

TERKINI
March 23, 2021 - 02:23 PM


Sejak laluan pejalan kaki bertingkat yang menjadi ikonik di ibu negara iaitu Pintasan Saloma dibuka kepada orang ramai -- semakin banyak yang telah mengunjungi lokasi tarikan itu bersama keluarga dan rakan-rakan.

Ada yang suka bergambar Instagrammable dan lepak-lepak santai, malah ada juga kita lihat di media-media sosial yang menjadikan Pintasan Saloma sebagai laluan mereka berbasikal bersama kawan-kawan setiap kali hujung minggu atau hari cuti.

Tetapi, korang tahu tak sebenarnya pintasan tersebut yang turut dikenali sebagai Saloma Bridge itu TIDAK MEMBENARKAN sebarang aktiviti menunggang basikal.

Menurut laporan Bernama yang memetik kenyataan daripada Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) -- penunggang hanya dibenarkan menuntun basikal semasa melalui laluan pejalan kaki yang sepanjang 370 meter itu sahaja.

Oleh itu, PKB memohon kerjasama orang ramai terutamanya kaki-kaki basikal agar mematuhi peraturan tersebut bagi memastikan keselamatan pengunjung lain serta memelihara struktur mercu tanda yang menghubungkan Kampung Baru ke KLCC itu sentiasa dalam keadaan baik.

Kenyataan daripada PKB tersebut difahamkan sebagai maklum balas selepas banyak gambar aktiviti berbasikal di pintasan ikonik itu tular di media sosial serta mencetuskan kemarahan netizen kerana didakwa membahayakan keselamatan pejalan kaki dan merosakkan kemudahan awam.

Sumber: Bernama

Destination: