Kanak-Kanak 5 Tahun Naik Basikal Waktu Malam Maut Dirempuh Ativa
TERKINISeorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas basikal dinaikinya dirempuh secara tidak sengaja oleh sebuah kereta jenis Perodua Ativa dalam kejadian di Jalan Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 8.05 malam ketika sedang dirawat di Zon Unit Rawatan Rapi (ICU) Hibrid Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban akibat kecederaan parah di badan.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Ativa yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun sedang bergerak dari arah Jalan Nusari Aman 2/2M menuju ke arah pintu pos pengawal Taman Nusari Aman 1B,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamad Hatta berkata, kemudian datang sebuah basikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan.
“Pada masa sama, basikal mangsa bergerak di belakang sebuah kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux sebelum masuk ke laluan Perodua Ativa (arah bertentangan). Pemandu Perodua Ativa tidak sempat mengelak dan terus melanggar basikal mangsa,” katanya.
Beliau berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Fadzilah Ahmad di talian 016-2895801 atau terus hadir di mana-mana balai polis berhampiran.