Vaksin Covid-19: 9 Juta Vaksin Tamat Tempoh Jadi Punca Kerajaan 'Rugi' RM185 Juta

TERKINI
July 11, 2024 - 02:34 PM


Lebihan vaksin Covid-19 yang telah tamat tempoh dan terpaksa dilupuskan telah menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian yang banyak, menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. 

Hal tersebut diberitahu ketika sidang Dewan Rakyat yang berlangsung hari ini dimana sejumlah 9,159,151 dos vaksin Covid-19 telah luput mengakibatkan kerugian RM185 juta yang turut dianggarkan berdasarkan kos penyimpanan, logistik dan sebagainya.

Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata jumlah vaksin pelbagai jenama itu meliputi 10.8% daripada keseluruhan 84.5 juta dos vaksin diterima kerajaan sejak program imunisasi bermula pada 24 Feb 2021.  

Beliau juga berkata Kementerian Kesihatan tidak menyalahkan mana-mana pihak berkait kerugian itu memandangkan tiada garis panduan perolehan ketika perolehan vaksin itu dibuat. 

“Saya tidak bermaksud untuk negatif terhadap menteri-menteri terdahulu daripada saya. Apapun soalan ini jarang mahu dijawab oleh menteri atas perkara yang dikatakan obligasi kontraktual.

“Persoalannya bagi menteri-menteri terdahulu dariapda saya, mereka tidak punya SOP atau best practise atau bench marking kerana itu adalah pandemik buat pertama kali.

“Dengan itu saya memahami, kalau ada lebihan itu, ia terkait dengan ketika itu persaingan mendapatkan perolehan vaksin itu adalah sangat sengit,” katanya.

Beliau berkata sedemikian bagi menjawab persoalan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias (Barisan Nasional) yang meminta Dzulkefly menyatakan jumlah vaksin Covid-19 yang terpaksa dilupuskan kerana tamat tempoh.

Jelas beliau, sehingga Jun tahun ini kira-kira 9.12 juta dos vaksin Covid-19 pelbagai jenama yang telah luput di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Lebih kurang 10.8 peratus daripada jumlah dos yang kita perolehi atau menerima sumbangan. Proses pelupusan dan pelaporan vaksin dalam simpanan KKM mengikut tatacara pengurusan asset dan pengurusan stok,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sebanyak 26 kes kesan sampingan serius dan akibat vaksin Covid-19 yang telah dilaporkan pada setiap sejuta orang.

“Kesan sampingan serius itu terkait persoalan sama ada kemasukan dalam wad, pemajangan tempoh di wad, membahayakan nyawa dan sebagainya.

“Kami memang mengakui dan sangat sedar ada pemantauan berterusan yang dibuat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan setiap satu kematian itu kita akan susuli dengan forensik untuk mengenalpasti terkait sebab musabab kes serius itu yang sentiasa diambil tanggungjawab,” tambahnya. 

 

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: