Elak Keaslian Terjejas, 13 Menu Tempatan di Pulau Pinang Tidak Dibenarkan Dimasak Oleh Pekerja Asing

FOODIE
July 18, 2024 - 12:45 PM


Susulan pelaksanaan berkenaan, kerajaan negeri Selangor cuba untuk meneliti semula polisi yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri Selangor menganggap pelaksanaan tersebut sebagai satu langkah yang boleh dilakukan bagi mengawal warga asing dari berterusan menjaja tanpa sebarang permit dan kelulusan.

Walau bagaimanapun, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor Datuk Ng Suee Lim menerusi laporan The Sun mendedahkan perkara itu agak sukar untuk dilakukan berikutan jumlah masyarakat yang melebihi tujuh juta orang.

Ia termasuklah rungutan yang akan diterima daripada pemilik premis.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Selangor bagi DUN Rawang telah mencadangkan agar Selangor mengikut langkah yang dilakukan oleh Pulau Pinang itu.

Pekerja Warga Asing Di Pulau Pinang Tak Dibenarkan Masak 13 Menu Tempatan, Elak Keaslian Terjejas

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menguatkuasakan satu larangan terbaharu bermula tahun hadapan di mana tiada lagi tukang masak asing yang dibenarkan di semua gerai, medan selera serta kedai kopi.

Menurut Ahli Majlis MBPP Tan Soo Siang, beliau memaklumkan bahawa cadangan tersebut kini sudah 90% siap dan sedang menunggu kelulusan dalam mesyuarat majlis akan datang.

“Sasaran kami adalah untuk menguatkuasakan perkara tersebut bermula pada tahun hadapan”, kata Tan Soo Siang.

Larangan ini mula dipertimbangkan selepas menerima banyak rungutan dari masyarakat berhubung kualiti makanan yang sudah tidak sama selepas premis perniagaan mengambil warga asing sebagai tukang masak.

13 Menu Tempatan di Pulau Penang Tidak Dibenarkan Dimasak Oleh Pekerja Asing

Walau bagaimanapun, larangan tersebut hanya terpakai untuk gerai yang menjual 13 jenis hidangan tempatan berikut. Antaranya:

  1. Nasi Lemak
  2. Asam Laksa
  3. Pasembor
  4. Mi Sotong
  5. Char Koay Teow
  6. Koay Teow Sup
  7. Mi Hokkien
  8. Mi Kari
  9. Mi Wan Tan
  10. Loh Bak
  11. Chee Cheong Fun
  12. Char Koay Kak
  13. Oh Chien

Larangan ini hanya dikenakan kepada gerai-gerai kecil dan tidak melibatkan premis kafe, restoran, hotel dan francais yang menawarkan hidangan sama.