AFC Siasat Kes Tunggakan Gaji Pemain, FAM & Liga Malaysia Berdepan Sekatan Berat

SUKAN
July 24, 2024 - 11:17 AM


Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah membuka satu kertas siasatan ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung dengan isu tunggakan gaji pemain. 

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John berkata kertas siasatan dibuka untuk menyiasat isu pelanggaran syarat pelesenan kelab ekoran masalah gaji yang dialami oleh kelab Liga Malaysia musim ini. 

Siasatan ini dilancarkan susulan pendedahan KL City sebenarnya memiliki tunggakan caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) berjumlah RM719,116 dan tunggakan tersebut dikatakan sudah ada sejak 2023. 

Pemberian lesen kepada KL City untuk bersaing pada musim 2024-2025 walaupun mempunyai tunggakan gaji kepada pemain dan pekerja yang belum dibayar boleh menyebakan liga Malaysia dihukum. 

Menurut Windsor, sekiranya kesalahan itu benar berlaku, maka FAM dan MFL berdepan risiko penarikan lesen dari beraksi dalam saingan AFC sekaligus menjadikan tiada wakil Malaysia beraksi di pentas Asia. 

“Fail siasatan sudah pun dibuka dan langkah seterusnya, kami akan menghubungi MFL dan FAM untuk memulakan perbincangan bersama Jabatan Pelesenan Kelab yang akan memantau dan melihat proses pemberian lesen.

“Kesan yang paling berat ialah tiada wakil yang boleh kami terima kerana kuasa mereka (FAM dan MFL) untuk memberikan lesen ditarik balik oleh kami memandangkan terdapat masalah dalam proses pemberian lesen.

“Kalau langgar, kena hukum. Kita sudah ada kes duluan. Takkan kita buat pada satu negara, kita tak buat pada satu negara lain. Langgar tetap kena hukum. Jadi, kita kena lihat sama ada berlaku pelanggaran lesen atau tidak,” tambahnya.

Untuk info, KL City ketika ini menduduki tangga keempat liga dengan tujuh mata selepas mengharungi empat perlawanan. 

 

Sumber: Makan Bola & The Vocket

Destination: