"Memang Tak Manis Buka Aib Sendiri" - Shuib Mohon Maaf Kongsi Isu Ketagih Judi
HIBURANPendedahan yang dibuat oleh pelawak dan usahawan, Shuib tentang dirinya yang pernah terjebak permainan judi sehingga mengalami ketagihan suatu ketika dahulu telah mendapat kritikan dari orang ramai.
Ini kerana, ramai yang mengatakan perkongsiannya itu telah membuka aib sendiri sedangkan selama ini Allah menutup aib dirinya.
Enggan memperbesarkan isu tersebut, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad mengaku khilaf dan memohon maaf atas keterlanjuran berkongsi kisah silamnya.
Menurutnya, walaupun perkongsian yang dibuat bertujuan memberi pengajaran kepada orang ramai, tetapi kisah membuka aib tidak seeloknya didedahkan secara terbuka.
"Sebenarnya saya enggan membesarkan hal ini lagi walaupun menerima pelbagai komen positif dan negatif. Namun, kalau dilihat dari sudut hukum agama selepas membuat bacaan dan menonton di YouTube, memang tidak manis membuka aib sendiri walaupun bertujuan untuk memberi pengajaran kepada orang.
"Jadi, tindakan yang dilakukan itu adalah satu khilaf daripada pihak saya dan saya akan mengambil pengajaran serta lebih berhati- hati ketika bercerita mengenai perkara silam.
"Saya juga sedar kadang-kadang niat tidak menghalalkan cara. Jadi, saya ambil maklum sebab ada cara sebenarnya kalau nak bercerita mengenai benda yang tak baik untuk dijadikan pengajaran mengikut Islam," katanya.
Dalam pada itu, Shuib berharap orang ramai dapat menonton podcast Dol’s Podcast yang dikendalikannya bersama Shuk Sahar dan Fizie sebelum menghukum dirinya kerana apa yang dikongsikan itu boleh dijadikan sebagai pengajaran.
Sumber: Harian Metro