Buat Kejutan, Robert Downey Jr. Kembali Ke Marvel Sebagai Doctor Doom

HIBURAN
July 29, 2024 - 11:26 AM


Pelakon lelaki yang terkenal dengan watak Iron Man, Robert Downey Jr bakal kembali ke Marvel Cinematic Universe (MCU) sebagai Doctor Doom dalam filem terbaru Avengers: Doomsday. 

Pengumuman tersebut dilakukan di San Diego Comic-Con pada Sabtu lalu oleh Russo Brothers, yang terkenal mengarah filem-filem ikonik seperti Captain America: Civil War, Avengers: Infinity War, dan Avengers: Endgame.

Sebelum itu, Kevin Feige yang merupakan Presiden Marvel Studios telah mengumumkan kembalinya Joe dan Anthony Russo sebagai pengarah dua filem Avengers akan datang, Avengers: Doomsday dan Avengers: Secret Wars. 

Ketika ingin memperkenalkan Robert Downey di Comic-Con, Joe dan Anthony Russo menekankan pentingnya watak Doctor Doom untuk Secret Wars.

“Terdapat satu watak yang sangat penting untuk memberi keadilan kepada Secret Wars… mungkin watak paling penting dalam seluruh alam semesta Marvel.

“Jika kita ingin membawa Victor Von Doom ke pawagam di seluruh dunia, kita memerlukan pelakon terbaik di dunia untuk memainkan watak itu,” kata Joe Russo.

Tidak lama selepas membuat pengumuman terbabit, sekumpulan lelaki dengan jubah dan topeng Doctor Doom naik ke pentas, dan Robert Downey mendedahkan dirinya. 

Pendedahan tersebut disambut dengan sorakan orang ramai yang tidak menyangka akan kepulangan pelakon tersebut memandangkan beliau sebelum ini mengumumkan persaraannya selepas 10 tahun bersama MCU. 

Watak Doctor Doom yang dilakonkan Robert Downey dalam Doomsday dijangka adalah varian lain – versi alternatif Tony Stark dari alam semesta lain yang memilih jalan hidup yang sangat berbeza. 

Berdasarkan hantaran di Instagram, Avengers: Doomsday dijadualkan bertemu penonton pada 1 Mei 2026.

Sebelum ini, Robert memainkan watak Iron Man buat kali terakhir di dalam filem Avengers: Endgame yang ditayangkan pada tahun 2019.  

 

Sumber: Marvel Studios & Astro Awani

Destination: