Langgar Undang-Undang Malaysia, Penganjur Good Vibes Festival Saman Band The 1975

HIBURAN
July 31, 2024 - 04:26 PM


Penganjur acara Good Vibes Festival, Future Sound Asia menyaman kumpulan muzik Britain, The 1975 sebanyak £1.9 juta (RM11.25 juta), setahun selepas kontroversi yang ditimbulkan oleh penyanyinya, Matthew Healy. 

Menerusi firma guaman Steven Thiru & Sudhar Partnership, Future Sound Asia memfailkan tuntutan tersebut di Mahkamah Tinggi United Kingdom dengan mendakwa bahawa kumpulan itu sengaja melanggar undang-undang negara meskipun selepas diberikan beberapa peringatan. 

Mereka turut memetik persetujuan bertulis oleh vokalis Matty Healy bahawa kumpulannya akan ‘mematuhi kesemua peraturan dan garis panduan tempatan’. 

Antara garis panduan ketika berada di atas pentas adalah larangan mengeluarkan kata-kata kesat, merokok, minum minuman keras, menanggalkan pakaian dan bercakap tentang isu politik atau agama. 

Tuntutan saman itu menyatakan bahawa The 1975 dianggap tidak membuat persembahan sebaliknya memutuskan untuk memprotes peraturan berkenaan dengan memainkan senarai lagu berbeza serta mengingkari garis panduan dengan sengaja.

Ia termasuk ucapan provokatif Healy, ciuman dan ‘pelukkan ghairah yang dibuat-buat dengan lama’ ke atas seorang lagi anggota kumpulan itu, Ross MacDonald. 

Terdahulu, The 1975 telah mengecam polisi kerajaan Malaysia mengenai LGBT ketika set mereka di GVF 2023.

Malah, Matty turut bertindak tidak senonoh dengan mencium MacDonald, memegang botol arak dan melakukan aksi meludah ketika di atas pentas.

Pentas tidak lama kemudian bertukar menjadi gelap sebelum Matty mengumumkan bahawa kumpulannya telah disekat di Kuala Lumpur. 

 

Sumber: Kosmo

Destination: