Influencer Indonesia Dedah Perangai Sebenar Suami Lulusan Al-Azhar Sanggup Belasah Isteri & Tendang Bayi
HIBURANSuami sepatutnya menjadi pelindung buat isteri dan juga keluarga. Namun, apabila seseorang lelaki itu tidak mengambil tanggungjawab sebagai seorang suami itu berlandaskan dengan agama dan tunduk akan nafsu amarah, maka musnahlah rumah tangga yang sudah dibina.
Itu yang dialami oleh seorang pempengaruh media sosial Indonesia, Cut Intan Nabila yang mendedahkan sikap iblis suaminya, Armor Toreador melalui satu perkongsian di akaun Instagram miliknya.
Dalam video berkenaan, ibu kepada tiga anak itu berkongsi video dikasari suaminya yang terakam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) di bilik tidur mereka.
Difahamkan lelaki terbabit bukan sahaja melakukan keganasan rumah tangga, bahkan beberapa kali kantoi curang sepanjang lima tahun perkahwinan mereka.
Menurut Cut Nabila atau lebih mesra dibahasakan Intan yang juga bekas atlet fencing kebangsaan, banyak lagi video dalam simpanan sebagai bukti keganasan Armor sepanjang tempoh perkahwinan mereka.
“Selama ini saya bertahan kerana anak, ini bukan kali pertama saya berdepan keganasan rumah tangga. Ada puluhan video lain yang saya simpan sebagai bukti.
“Lima tahun berkahwin banyak nama wanita mewarnai rumah tangga saya termasuk membabitkan beberapa rakan saya.
“Saya sudah berkali-kali memaafkan tapi tak pernah terbuka hatinya, ternyata benar kecurangan dan kekerasan rumah tangga tidak akan pernah berubah,” katanya.
Dalam rakaman yang dimuat naik semalam, dapat dilihat Armor memukul, menendang dan mencengkam wanita itu berkali-kali. Lebih menyayat hati, meskipun menjerit kesakitan, si suami tetap memukulnya tanpa sebarang belas kasihan.
Dalam video berdurasi beberapa saat itu, lebih mengejutkan Armor juga sengaja menendang bayi mereka yang masih berusia 22 hari.
Menurut wanita asal Banda Acheh itu, dia tidak lagi mampu bertahan sekali gus terpaksa menggunakan media sosial untuk mempertahankan diri dan anak-anak.
“Saya seorang yang tidak pernah membuka aib rumah tangga saya. Saya menjaga martabatnya tapi hari ini saya sudah tidak boleh menahan semua sendiri.
Difahamkan, Armor merupakan pengasas dan ketua pegawai eksekutif syarikat perniagaan dandanan rambut terkemuka di negara itu.
Lelaki lulusan Universiti Al Azhar Indonesia itu juga adalah anggota Badan Pengurus Daerah Himpunan Pengusaha Muda Indonesia (Hipmi) Jawa Barat.
Armor kini berada dalam tahanan polis selepas dicekup di Jakarta iaitu sebaik Intan membuat laporan di Balai Polis Bogor atas tuduhan melakukan keganasan domestik.