Anda Boleh Dapatkan iPhone 16 Dengan Trade-in iPhone 15 dan Kebawah di Apple Store

GAYA HIDUP
September 19, 2024 - 02:09 PM


Dengan adanya Apple Store pertama di Malaysia, ia pasti lebih memudahkan pengguna untuk lakukan trade-in peranti lama di stor fizikal Apple bagi mendapatkan kredit untuk membolehkan iPhone 16 dibeli pada harga lebih murah.

Terdapat dua cara untuk anda lakukan trade-in di Apple Store Malaysia. Satu adalah secara dalam talian dan satu lagi adalah secara fizikal melalui Apple Store TRX.

Untuk trade-in secara dalam talian, terdapat tiga langkah yang anda perlu ikuti. 

Langkah 1

Semasa membeli iPhone, anda boleh pilih pilihan trade-in sewaktu mengkonfigurasi iPhone. Kemudian anda perlu berikan beberapa maklumat, antaranya alamat untuk Apple menghantar kit pembungkusan, model dan storan iPhone lama bersama-sama dengan nombor siri. Harga iPhone lama akan ditetapkan berdasarkan model dan kapasiti storan.

Langkah 2

Anda perlu sediakan iPhone lama anda untuk trade-in. Untuk lakukannya, anda akan terima e-mel pengesahan darpada Apple dan e-mel itu juga mengandungi segala panduan untuk anda mempersiap dan membungkus iPhone lama anda menggunakan kit yang diberikan Apple, supaya peranti lama anda boleh dihantar ke Apple. 

Berikut adalah cara-cara untuk sediakan iPhone sebelum trade-in.

  1. Backup dan padamkan segala maklumat di telefon anda
  2. Keluarkan kad SIM jika anda gunakan kad sim fizikal, atau hentikan perkhidmatan eSIM dengan menghubungi telco yang anda guna
  3. Masukkan iPhone lama ke dalam kit penghantaran yang disediakan Apple
  4. Lipat kotak dengan kemas mengikut langkah yang ditetapkan
  5. Hantar iPhone anda ke Apple.

Keseluruhan  proses trade-in dalam talian akan mengambil masa 2 hingga 3 minggu untuk selesai selepas anda menghantar peranti kepada Apple. Apple juga memerlukan masa 3-5 hari untuk menilai kepadaan peranti anda. Pembayaran dengan nilai kredit peranti lama yang ditebus hanya akan ditolak sesudah Apple mengesahkan keadaan peranti tersebut.

Perlu untuk dinyatakan bahawa peranti ditukar beli juga hendaklah dihantar dalam masa 14 hari selepas anda menerima pesanan iPhone baharu anda.

Selain itu, anda tak semestinya perlu memulangkan aksesori lain seperti kabel dan kepala pengecas untuk mendapatkan kredit maksimum bagi tukar beli. Apple akan mengitar semula aksesori tersebut dan nilai tukar beli tidak akan terkesan jika anda tak menyertakan aksesori dengan peranti. Kalau anda membatalkan trade-in tapi telah menghantar peranti bersama-sama aksesori, aksesori tersebut tidak akan dipulangkan.

Senarai harga trade-in iPhone di Apple Store

Berdasarkan laman trade-in Apple Malaysia, Apple menawarkan kredit antara RM200 hingga RM4,750 bergantung pada model dan keadaan iPhone jika anda tukar beli iPhone lama anda untuk membeli iPhone yang baharu. iPhone paling lama yang masih layak untuk ditukar beli adalah iPhone 7 Plus yang dilancarkan pada tahun 2016.