Dobi Layan Diri Untuk Muslim Sahaja - Sultan Johor Titahkan Pengendali Dobi Muslim Minta Maaf

TERKINI
September 27, 2017 - 12:27 PM


Baru-baru ini viral di Facebook berkenaan pemilik sebuah kedai dobi layan diri di Muar yang menaikkan papan tanda yang menunjukan bahawa mereka hanya menerima pelanggan Muslim. 

Perkara ini mendapat perhatian Baginda Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, yang dilaporkan murka serta menitahkan agar kedai dobi tersebut segera menghentikan amalan diskriminasi atau baginda sendiri akan menutup perniagaannya.

“Ini bukan negeri Taliban dan sebagai ketua agama Islam di Johor, saya dapati tindakan ini tidak boleh diterima kerana ia bersifat ekstrimis,” titah baginda seperti yang dipetik oleh The Star.

Menurut laporan daripada The Star itu, Baginda Sultan yang dilihat sedih, berkata bahawa baginda dan keluarganya sangat terkejut dengan tindakan pemilik kedai dobi berkenaan.

Baginda bertitah sekiranya perkara ini tidak dihentikan ia akan membawa kepada lebih banyak tindakan tindakan berfikiran sempit menggunakan nama Islam.

 

Memetik satu posting di page Dr. Ustaz Rozaimi Ramli di facebook,yang dikongsi di laman web Sinar FM,  beliau ada terangkan tentang hukum berkongsi menggunakan mesin basuh ini.

Ini adalah petikan jawapan daripada page tersebut :

2- Hukum asal sesuatu adalah suci. Ia kekal suci selagi mana tiada bukti menunjukkan ia bernajis. Maka begitu jugalah mesin basuh ini, ia kekal suci kecuali terdapat bukti jelas menunjukkan ia tidak suci.

3- Andaian-andaian non-Muslim sentuh anjing, babi, berak tak basuh, kesan darah haidh etc etc adalah andaian-andaian semata-mata. Ia tidak mengubah status quo sesuatu iaitu ia suci. Andaian dan syak wasangka tidak boleh mengubah status asal sesuatu benda iaitu suci.

Kaedah feqh menyatakan: Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak.

Disebabkan sikap suka berlebih-lebihan beginilah nanti timbul isu: Boleh ke salam dengan non-Muslim sebab boleh jadi mereka pegang anjing, babi. Nanti jangan sampai ada mualaf tidak benarkan ibu bapa yang bukan Muslim cium pipi mereka atas alasan sebab mak ayah makan khinzir, minum arak etc.

Dari segi hukum, dah dijelaskan bahawa perkongsian tersebut tidak mendatangkan apa-apa masalah kepada orang Islam sendiri.

Berbalik kepada titah Baginda sebelum ini... Baginda turut menambah bahawa, baginda tidak boleh berdiam diri terhadap isu tersebut, sekiranya perkara ini dibiarkan, “lepas ini kita akan ada teksi hanya untuk Islam atau bukan Islam pula,”.

Baginda juga tidak mahu bangsa lain melakukan tindakan-tindakan yang serupa.

 

Sumber : The Star | Sinar FM