Kenali 10 Fakta Menarik Berkenaan Dengan Sultan Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong ke-17
TERKINIDuli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar telah dipilih menjadi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, pelantikan selama lima tahun itu berkuat kuasa 31 Januari 2024, hari ini.
Pelantikan baharu berkenaan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari 2024 selepas lima tahun.
Bersempena dengan pertabalan baginda, apa kata kita kenali sedikit sebanyak latar belakang Sultan Ibrahim. Ini dia 10 fakta menarik tentang YDPA terbaru kita:
1. Hari keputeraan
Sultan Ibrahim diputerakan pada 22 November 1958 dan merupakan anakanda ketiga dan putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Hajah Khalsom binti Abdullah.
2. Latihan Ketenteraan
Baginda juga mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan untuk pegawai muda di Fort Benning, Georgia USA dan latihan ‘American Special Forces‘ dan ‘Pathfinder. Ketika itu baginda telah membuat 19 terjunan payung terjun yang mana lapan darinya pada waktu malam.
Selain itu, baginda dipilih dan ditauliahkan sayap dan dijadikan sebagai seorang komando. Baginda juga ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera laut dan darat).
Sultan Ibrahim juga menyertai selama tiga bulan latihan tentera laut di Pengkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia Lumut, sekali gus melengkapkan Tuanku sebagai pegawai tentera darat, laut dan udara.
3. Lesen Pemanduan
Baginda pernah dilantik sebagai Timbalan Pegawai Pemerintah Askar Timbalan Setia Negeri dan menjalani latihan juruterbang helikopter dengan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) hingga dikurniakan dan menerima sayap pada 26 April 1982.
Pada tahun 2011, Sultan Ibrahim telah mencemar duli dengan memandu komuter terakhir yang keluar dari Stesen Tanjong Pagar sebelum ia ditutup secara rasmi. Dalam perjalanan terakhir itu, baginda telah membawa seramai 600 penumpang termasuk golongan diraja Johor, bekas dan pekerja KTM, wartawan dan rakyat jelata.
Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda telah menyatakan hasrat untuk membawa kereta api terakhir itu kepada pengerusi KTM bagi menghormati jasa moyangnya Sultan Ibrahim yang telah membukan landasan yang membolehkan kereta api pertama untuk masuk ke Singapura dari Malaysia pada 1923.
Untuk membawa komuter tersebut, baginda perlu belajar tentang diagram kawalan kereta api dan mekanik macam mana kereta api bergerak sebelum memulakan latihan praktikal.
"Selain kereta api, beta juga boleh terbangkan pesawat, helikopter dan melayarkan kapal layar beta sendiri. Beta bukan seorang yang membosankan. Semua perkara adalah cabaran buat beta dan beta sentiasa akan cari perkara baru yang boleh dibuat setiap hari," jelasnya.
4. Tahap Pendidikan
Bagi mengimbangi latihan ketenteraan dan untuk menjadi seorang Raja yang berwibawa dan dihormati, baginda meneruskan pelajaran di Fletcher School of Law and Diplomacy di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat. Tuanku menyertai dan melengkapi dua kursus, Southeast Asian Strategic Studies dan International Laws of the Seas.
5. Perkhidmatan di Negeri Johor
Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981. Mulai 25 April 1984 hingga 25 April 1989, Tunku Mahkota Tunku Ibrahim dilantik sebagai Pemangku Raja semasa ayahanda, Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang DiPertuan Agong.
Di samping itu, Sultan Ibrahim juga pernah berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Johor dan ditempatkan di antara lain di Pejabat Setiausaha Kerajaan, Pejabat Perbendaharaan, Pejabat Tanah, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Pertanian untuk mempelajari selok belok pengurusan dan pentadbiran negeri
6. Pemilik nombor plat termahal di Malaysia
Selain mempunyai pelbagai kereta-kereta mewah, Sultan Ibrahim juga telah beberapa kali menjadi pembida tertinggi untuk nombor-nombor plat kereta istimewa.
Pada september lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook kongsikan bahawa beliau telah menyerahkan nombor pendaftaran yang mempunyai nilai tertinggi pernah dibida setakat ini iaitu ‘FF 1’ yang berharga RM1.2 juta kepada Sultan Ibrahim.
7. Mempunyai darah British
Baginda merupakan keturunan Melayu-British di mana almarhum ayahandanya Sultan Mahmud Iskandar telah berkahwin dengan Josephine Ruby Trevorrow pada tahun 1956 selepas bertemu di Britain ketika menamatkan pengajian.
Josephine Ruby Trevorrow kemudiannya telah menukar nama kepada Enche’ Besar Hajah Khalsom binti Abdullah.
8. Pertabalan sebagai Sultan Johor
Walaupun telah menaiki takhta sebagai Sultan Johor pada tahun 2010, Hari Kemahkotaan baginda telah ditangguhkan dan dibuat pada tahun 2015.
Di dalam salah satu temubual, Sultan Ibrahim mengatakan bahawa kelewatan ini bukanlah satu perkara yang baru. Malah moyang baginda, Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim telah ditabalkan pada 29 Julai 1886 iaitu 23 tahun selepas menaiki takhta sebagai Sultan Johor era moden pertama.
Tambah baginda lagi, salah satu sebab pertabalan dilewatkan adalah kerana menunggu Istana Besar selesai menjalani pengubahsuaian.
9. Program Kembara Mahkota Johor
Sultan Ibrahim mencetuskan Kembara Mahkota Johor pada 2001 untuk mendampingi rakyat atas saranan Ayahanda beliau. Program Kembara Mahkota Johor dengan konvoi motosikal berkuasa tinggi dijadikan acara tahunan yang disertai YAB Menteri Besar dan pegawai-pegawai Kerajaan Negeri, bagi melaksanakan pelbagai projek kebajikan sepanjang laluan konvoi disemua 10 daerah di negeri Johor.
10. Yang di-Pertuan Agong
Sultan Ibrahim menjadi YDPA ke 17 setelah dipilih oleh Majlis Raja-Raja pada 27 Okt 2023. Ia berkuatkuasa pada hari ini, 31 Januari 2024.
Sumber: Sinar Harian, Lobak Merah & Portal Rasmi Negeri Johor