Angkara Khianat, Masjid & Surau Di Batu Pahat Terbakar Dua Malam Berturut-Turut

TERKINI
January 16, 2024 - 02:38 PM


Sebelum ini ahad lalu, berlaku kejadian kebakaran sebuah masjid di Batu Pahat sehingga memusnahkan banyak harta benda.

Kini, hanya sehari selepas Masjid Kampung Parit Simis di Sri Medan, terbakar dipercayai angkara khianat, sebuah surau di kawasan berkenaan pula mengalami kejadian sama, malam tadi.

Kebakaran Surau Parit Bangas di Sri Medan dilaporkan berlaku kira-kira jam 10 malam sehingga memusnahkan pelbagai barang termasuk permaidani, perabot dan pendingin hawa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata insiden itu disedari seorang penduduk yang kebetulan melalui lokasi terbabit.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebakaran itu berjaya dipadamkan 15 minit kemudian dengan bantuan penduduk berhampiran.

"Ia adalah kebakaran kedua berturut-turut membabitkan masjid dan surau di Sri Medan.

"Justeru, polis menyiasat kedua-dua kejadian berkenaan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan," katanya.

Selain itu, Ismail juga menjelaskan insiden terbaru itu turut menyebabkan sistem pendawaian di surau terbabit hancur musnah.

Susulan itu, Ismail berkata, pasukan forensik daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut hadir ke lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

"Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menyalurkannya kepada mana-mana balai polis berhampiran atau Ketua Polis Balai, Balai Polis Sri Medan, melalui talian 07-4850222," katanya.

Kelmarin, Masjid Kampung Parit Simis yang baru siap dibina pada November 2022, dilaporkan mengalami kerosakan teruk dengan kerugian dianggarkan berjumlah lebih RM150,000, akibat kebakaran yang disedari pada jam 10.46 malam.

Pengerusi masjid itu, Mat Sunari Paiman berkata pihak bomba yang menjalankan siasatan memaklumkan mereka menemui kesan petrol di bawah permaidani, selain lidi penyapu yang dipercayai digunakan untuk menyalakan api.

 

Sumber: Berita Harian

Destination: