6 Perkara Yang Harus Anda Rahsiakan Dari Rakan Sekerja, Bukan Semua Boleh Percaya!

GAYA HIDUP
December 05, 2017 - 10:45 AM


LINDUNGI PRIVASI ANDA DI PEJABAT

Privasi adalah hak mutlak untuk setiap individu. Tidak kiralah dimana anda berada, privasi perlu dilindungi agar tiada rahsia mahupun butir peribadi terlepas ke pengetahuan orang ramai. Di pejabat jua tidak terkecuali. Harus bijak lindungi privasi, jika tidak pasti merana diri.

 

APA PERLUNYA PRIVASI?

Pastinya ia perlu. Privasi penting buat kita untuk memencilkan diri dari orang ramai buat seketika dan mengambil masa untuk bersendirian. Selain itu privasi juga melibatkan rahsia peribadi yang tidak sepatutnya diketahui umum.

Amy Jo Martin, pakar dan penulis buku Regenades Write and Rules menyatakan ‘bukan hanya di sosial media, di mana-mana saja seseorang perlu berhati-hati agar tidak mendedahkan apa jua butir terperinci terutama di kalangan rakan sekerja. Ini kerana dari situ sisi profesional anda akan diuji’.

 

 

3 SITUASI PERLU BERJAGA-JAGA

 

1- SAAT BERBICARA DENGAN BOS

# Usah ceritakan semuanya dengan bos anda walau serapat mana perhubungan anda berdua. Jangan fikir jika anda ‘opened up’ mengenai diri anda, anda menyangka bahawa bos anda akan menyukai anda. Rumus yang salah sama sekali!

# Sekiranya bos anda berkongsi kisah peribadi dan hidupnya kepada anda, tidak semestinya anda perlu untuk berbuat sama bagi menghormatinya. Angguk tanda faham, kurangkan bercakap dan memberikan komen.

# Jangan mulakan dulu. Sentiasa tahankan diri dari menceritakan apa jua hal peribadi terutama sekali kepada bos anda.

 

2- SAAT BERSOSIAL

# Saat bersosial bersama rakan-rakan sekerja juga menguji keupayaan anda untuk terhadkan diri anda dari berkongsi apa jua termasuk masalah dalam keluarga, kisah anak-anak mahupun perhubungan peribadi anda.

# Jika anda melihat rakan sekerja sedang bergosip, ada baiknya anda mengambil masa untuk keluar dari perbualan tersebut, mahupun tidak sama melibatkan diri. Ragam manusia, jika diri sudah terbiasa dan selesa, anda tidak dapat untuk mengawal diri.

# Elakkan dari sikap terlalu terbuka dengan rakan sekerja. Berdasarkan penyelidikan pakar strategi penjenamaan peribadi, Kirsten Vernon, sikap terbuka hanya akan meletakkan kerjaya anda dalam bahaya kerana segala butir peribadi tersebut boleh digunakan mereka untuk menjatuhkan anda.

# Gunakan teknik ‘pause’ setiap kali anda berhubungan dengan mereka. Mungkin sedikit sukar tetapi di saat anda ingin meluahkan sesuatu, ambil masa untuk fikirkan semula.

 

3- SAAT ATAS TALIAN

#Tak dinafikan media sosial menjadi medium utama buat anda untuk meluahkan segalanya. Walaupun anda fikir anda sudah menyekat rakan-rakan sekerja anda yang tertentu, ini tidak bermakna segala luahan anda tidak sampai ke pengetahuan mereka

#Elakkan untuk selalu memuatnaik status yang berbaur kerjaya mahupun masalah peribadi / keluarga anda yang boleh membahayakan kerjaya anda

#Jangan letakkan sebarang hint atau klue kerana ia mudah untuk dirungkai dan diagak oleh pembaca

 

 

6 PERKARA SEBAIKNYA DIRAHSIAKAN DARI PENGETAHUAN RAKAN SEKERJA

1- Jumlah keseluruhan gaji anda. Jumlah gaji adalah antara anda dan bahagian sumber manusia sahaja.

2- Sejarah kesihatan anda. Tidak perlu terlalu terbuka mengenai kondisi kesihatan anda, kali terakhir menjalani pembedahan dan lain.

3- Keluhan. Elakkan dari mengeluh soal kerjaya mahupun sikap bs di kalangan rakan sekerja. Luahkan saja pada keluarga dan teman rapat anda.

4- Gaya hidup. Jangan rungkaikan segala butir peribadi mengenai gaya hidup anda terlalu mendalam dengan rakan sekerja.

5- Fahaman politik dan agama. Isu yang sangat sensitif.

6- Kisah peribadi. Pencintaan, putus tunang mahupun penceraian.

 

 

TIP WAJAR IKUT

1) Elakkan dari meletakkan sebarang dokumen peribadi di atas meja sebagai langkah berjaga-jaga.

2) Jangan biarkan medium sosial anda terbuka seluas-luasnya untuk seketika walaupun sekadar ingin ke tandas.

3) Jangan sesekali tinggalkan telefon bimbit mahupun gajet peribadi anda di atas meja. Siapa tahu ada yang menghubungi dan rakan sekerja anda yang mengangkat panggilan tersebut.

4) Jangan sesekali melakukan hal-hal sara hidup di pejabat anda. Seperti memindahkan sejumlah wang ke akaun keluarga dan lain-lain. Hanya lakukan di rumah.